KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dan dua wanita warga Vietnam ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti persundalan yang menawarkan tempahan pelacur dibuat menerusi laman web sebelum pelacur itu dihantar ke lokasi diminta pelanggan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, penahanan itu dibuat dalam Op Noda #KLSTRIKFORCE oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
Beliau berkata, tiga individu terbabit ditahan ketika mereka dalam perjalanan ke sebuah hotel di Kuala Lumpur Sentral.
“Pemeriksaan mendapati lelaki warga tempatan itu bekerja sebagai ‘transporter’ yang menghantar pelacur diminta pelanggan dengan bayaran gaji RM180 sehari,” katanya.
Difahamkan, sindiket pelacuran di ibu kota itu beroperasi melalui kaedah tempahan dibuat secara dalam talian dan pelanggan boleh memilih pelacur disukai yang disenaraikan dalam laman web berkenaan.
Ku Mashariman berkata, siasatan mendapati wanita warga asing itu menjalankan aktiviti persundalan sejak sebulan lalu dan menerima gaji sebanyak RM120 bagi satu pelanggan.
Beliau berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke IPD Brickfields bagi proses dokumentasi dan kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 373 (1) Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.