KOTA BHARU: Tiga penyeludup petrol bersubsidi termasuk seorang wanita ditahan di dua lokasi berasingan menerusi Op Taring Wawasan di Tumpat dekat sini, semalam.
Tangkapan yang dilakukan sepasukan anggota Batalion 9 PGA di Pos Simpangan dan Pos Ular.
Menerusi penahanan tiga individu terbabit, sebanyak 285 liter petrol dan tiga kenderaan dengan tangki diubah suai dirampas membabitkan nilai keseluruhan RM27,654.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tangkapan pertama di sekat pintas Pos Ular apabila menahan seorang lelaki berusia 36 tahun.
Menurutnya, sebanyak 90 liter petrol ditemui dalam tangki kenderaan yang diubah suai selain menemui satu unit pam angin.
“Tangkapan kedua pula dilakukan di Pos Simpangan pada 8.55 pagi membabitkan penyeludup petrol wanita berusia 46 tahun dan merampas 15 liter petrol dalam tangki yang diubah suai.
“Tangkapan ketiga pula di Pos Ular membabitkan suspek berusia 47 tahun dan merampas 180 liter petrol.
“Modus operandi mereka adalah mengubah suai tangki kenderaan untuk kegiatan penyeludupan petrol dan mereka akan melakukan pengisian berulang sebelum bekalan dihantar ke Thailand,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan hasil rampasan diserahkan kepada Komtak Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.
Semalam, dilaporkan bekalan minyak petrol bersubsidi dari Malaysia laris dijual di sepanjang Selatan Thailand bermula dari Pekan Golok hingga ke Pattani.
Tinjauan mendapati, petrol RON95 hanya dijual di tepi jalan seperti ‘stesen minyak’ dengan dua saiz yang disediakan iaitu botol satu liter dan tong sembilan liter.
Peniaga mendakwa harga minyak dijual sekitar RM3.20 hingga RM3.90 bagi satu liter manakala RM29 hingga RM32 bagi pengisian sembilan liter.
Bagaimanapun, harga berkenaan berubah-ubah berdasarkan bekalan minyak berkenaan dan sekiranya bekalan terbabit sukar diseludup masuk ke Thailand, harga akan menjadi lebih mahal.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.