comscore
Tumpuan :
Jenayah

3 aktiviti penyeludupan dadah berjumlah RM7.17 juta di KLIA dipatahkan kastam

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin menunjukkan mesin yang diubahsuai bagi menyimpan dadah ketika sidang media mengenai kejayaan Kastam menumpaskan penyeludupan dadah di Sepang. – FOTO: NSTP

SEPANG: Tiga aktiviti penyeludupan dadah berjumlah 250.12 kilogram (kg) dengan anggaran nilai melebihi RM7.17 juta berjaya dipatahkan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), rampasan terbesar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tahun ini.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, kes pertama diperoleh hasil kerjasama maklumat dari Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

Menurutnya, pada 6 Oktober lalu kira-kira jam 4.40 petang pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Zon Tengah, Unit lll (LTAKL) telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah kargo transit di Zon Komersial Bebas (FZC) KLIA dan mengesyaki kargo terbabit yang diikrar sebagai mesin industri tidak munasabah.

Katanya, hasil pemeriksaan telah menemui 40 bungkusan plastik lutsinar yang di dalamnya mengandungi serbuk kristal putih disyaki dadah jenis Methamphetamine yang disembunyikan dalam ruangan khas dalam mesin terbabit.

“Dadah berkenaan dianggarkan seberat 207kg bernilai sekitar RM6.6 juta yang dibawa dari benua Afrika serta disyaki untuk diedarkan di Asia Barat,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Modus operandi adalah mengikrarkan dagangan mesin industri dan berat mesin bersama dadah yang disembunyikan dianggarkan 2.5 tan.

Anis Rizana berkata, bagi kes kedua, pada kira-kira jam 1 pagi 10 Oktober lalu seorang pegawai Kastam yang bertugas di Bahagian Perkastaman, Cawangan Penumpang Terminal 1 KLIA telah menahan dan menjalankan pemeriksaan ke atas dua bagasi milik dua penumpang lelaki yang baharu tiba dari negara jiran di utara tanah air.

Menurutnya, suspek warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an itu menaiki penerbangan syarikat Malaysia dan hasil pemeriksaan air kencing kedua-duanya didapati positif dadah.

Katanya, hasil imbasan menggunakan mesin pengimbas telah mengesan objek dan imej mencurigakan di dalam kedua-dua bagasi itu dan menemui 58 bungkusan plastik lutsinar kedap udara mengandungi gumpalan tumbuhan berwarna hijau disyaki dadah jenis Kanabis.

“Kedua-dua suspek didapati kali pertama ditahan dan dadah yang dibawa dianggarkan berat kasar 33kg dengan dengan nilai sekitar RM102,300 untuk di pasarkan dalam negara ini,” katanya.

Anis Rizana berkata, bagi kes ketiga, pada 6 Oktober lalu kira-kira jam 9 malam pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Zon Tengah, Unit lll (LTAKL) telah melakukan pemeriksaan ke atas satu kotak yang ditinggalkan dengan tag penerbangan dari Kuala Lumpur ke Miri di klia2.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kotak itu telah menemui plastik lutsinar yang disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine dan Ketamine.

Katanya, anggaran berat kasar dadah terbabit adalah sebanyak 10.12kg dengan nilai rampasan sekitar RM451,420.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebatan tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini