comscore
Tumpuan :
Jenayah

29 warga Indonesia ditahan guna kad pengenalan palsu

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Seramai 29 warga Indonesia yang memiliki kad pengenalan Malaysia palsu sebagai dokumen pengenalan diri dan tujuan bekerja di negara ini ditahan di sekitar kawasan perindustrian di Puchong, Selangor semalam.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kesemua mereka berumur antara 19 dan 70 tahun yang berasal dari Sulawesi, Medan dan Acheh, dipercayai telah tinggal di Malaysia antara lima hingga 10 tahun.

Beliau berkata, kad pengenalan palsu digunakan warga asing itu menggunakan alamat-alamat di Sabah dan siasatan mendapati alamat dicetak juga tidak wujud selain kualiti kad pengenalan palsu yang teruk tanpa ciri-ciri keselamatan serta maklumat pemegang kad tiada dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Siasatan mendapati kesemua kad pengenalan palsu diperoleh dengan bayaran RM300 dari ejen yang tidak dikenali di Selangor,” katanya pada sidang media mengenai penahanan warga asing dan penggunaan kad pengenalan palsu di sini hari ini.

Ruslin berkata operasi Ops Pintas dijalankan semalam, susulan aduan orang awam dan maklumat risikan berhubung terdapat ramai warga asing yang bekerja di kawasan perindustrian tersebut menggunakan kad pengenalan palsu.

Dalam operasi disertai 17 pegawai penguat kuasa JPN, mereka memintas satu van penumpang membawa pekerja asing dan pemeriksaan terhadap 14 orang di dalam van berkenaan menemukan 13 kad pengenalan palsu dan satu kad pengenalan asli milik orang lain digunakan.

Susulan itu, pasukan operasi membuat pemeriksaan di kawasan taman perindustrian di Puchong itu dan menahan 15 individu lain yang juga didapati menggunakan kad pengenalan palsu.

“Warga asing ini menggunakan kad pengenalan palsu untuk pengenalan diri sekiranya ditahan polis dan untuk tujuan bekerja dalam negara,” katanya.

Ruslin berkata 29 individu terbabit direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri.

Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Ruslin berkata JPN telah menahan 477 warga asing yang menggunakan kad pengenalan palsu dari 2019 sehingga kini.- BERNAMA

Loading...
Terkini