Tumpuan :
Jenayah

29 ahli sindiket tipu pelaburan dalam talian ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang beroperasi di sebuah pejabat mewah apabila menahan 29 individu dalam serbuan di Jalan Pudu, Bukit Bintang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata kesemua mereka termasuk enam rakyat asing, berusia antara 23 hingga 53 tahun ditahan jam 3.40 petang semalam.

Beliau berkata polis turut merampas sejumlah telefon bimbit, komputer riba serta beberapa peralatan elektronik lain.

Jelasnya, siasatan mendapati sindiket menyewa pejabat mewah dengan kadar sewa bulanan RM17,400.

“Sindiket ini menyasarkan mangsa di luar negara dan menjalankan operasi di pejabat terbabit kira-kira dua bulan.

“Siasatan mendapati semua individu itu mempunyai peranan antaranya sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menawarkan pelaburan forex, komoditi, saham, indeks dan mata wang kripto tidak wujud melalui medium live chatting (komunikasi secara langsung),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Dellhan siasatan mendapati bayaran gaji yang ditawarkan adalah antara RM2,000 hingga RM10,000 sebulan tidak termasuk komisen berdasarkan peranan yang diberikan.

Katanya dua daripada mereka yang berperanan sebagai pengurus didapati mempunyai rekod jenayah manakala kesemua yang ditahan direman hingga Isnin ini bagi siasatan mengikut Seksyen 120(B)/420 Kanun Keseksaan.- BERNAMA

Loading...
Terkini