Tumpuan :
Jenayah

27,350 karton rokok bernilai RM4.1 juta dirampas 

KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas 27,350 karton rokok seludup bernilai lebih RM4.1 juta yang dimuatkan dalam treler kontena di Jalan Sultan Ismail, Kampung Langgar, di sini, jam 4 pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata Pasukan Polis Marin WilayahTiga, Tumpat, pada awalnya mengesan sebuah bot yang mencurigakan di perairan Tumpat.

Katanya, hasil risikan yang dilakukan mendapati terdapat beberapa buah lori digunakan untuk mengangkut kotak daripada bot ke treler kontena berkenaan sebelum ia dipandu dari Wakaf Bharu menghala ke Kota Bharu

“Anggota bertugas kemudian bertindak menahan treler terbabit yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun bersama kelindan berumur 38 tahun yang mendakwa barangan yang dibawa kepunyaan seseorang.

“Hasil siasatan di dalam lori mendapati kesemua kotak berkenaan mengandungi rokok yang dipercayai belum dibayar cukai kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Rampasan rokok seludup dengan anggaran keseluruhan bernilai RM4,102,500 ke atas sebuah lori kontena di Jalan Sultan Ismail, Langgar.-Foto: NSTP

“Kesemua rokok serta treler dirampas manakala kedua-dua suspek ditahan untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di perkarangan Pondok Polis Peringat, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lamapu dan mereka bukan berasal dari Kelantan.

“Kes ini disiasat dibawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum 10 kali ganda nilai atau RM100,000.

“Rokok yang dirampas ini dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dibawa ke Lembah Klang bagi pasaran di sana dan maklumat dari negara mana barangan ini dibawa masih lagi dalam siasatan.

“Rampasan berkenaan adalah yang terbesar setakat ini yang mana nilai termasuk lori dan cukai mencecah RM10 juta dan saya mengharapkan agar lebih banyak rampasan sempadan dilakukan dengan kerjasama agensi PPM serta Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini