SEREMBAN: Polis merampas 243 mesin judi berbentuk tablet di sebuah premis menjual kanopi di Kampung Baru Rasah, di sini, yang dipercayai dijadikan transit, petang semalam.
Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Seremban kira-kira jam 4.30 petang itu turut berjaya menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga China masing-masing berusia 30-an.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, premis berkenaan dijadikan stor penyimpanan dan ketiga-tiga suspek dipercayai pembekal mesin judi.
Jelas beliau, serbuan berkenaan hasil maklumat awam dan risikan selama tiga minggu.
“Dalam serbuan ini polis merampas 140 mesin slot, 43 mesin tembak ikan dan satu mesin street fighter menjadikan jumlah keseluruhan 243 mesin dengan nilai dianggarkan RM560,000.
“Ia dipercayai peralatan yang digunakan untuk aktiviti perjudian. Mesin berkenaan dipercayai dibawa masuk dari China dan stor berkenaan dijadikan tempat transit sebelum diedarkan ke negeri lain,” katanya pada sidang media, hari ini.
Jelas beliau lagi, hasil siasatan mendapati semua mesin mudah alih berkenaan sudah mempunyai pembeli dari luar Negeri Sembilan dengan setiap mesin berharga dari RM2,000 hingga RM2,500.
“Seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik perniagaan dan seorang lagi adalah rakan niaganya manakala lelaki warga China dipercayai juruteknik bagi mesin berkenaan.
“Ia berbentuk tablet yang mudah alih. Difahamkan pemain hanya perlu tambah nilai sejumlah wang dan diberikan satu cip kecil untuk membolehkannya dimainkan,” katanya.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B (b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala warga China yang tidak mempunyai permit kerja sah disiasat mengikut Seksyen 55B dan 39 (b) Akta Imigresen 1959/63.
“Ketiga-tiga suspek direman selama dua hari bermula hari ini. Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis turut mengesan pembeli dari negeri lain bagi mengekang kegiatan berkenaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.