comscore
Tumpuan :
Jenayah

24 warga asing dicekup di pusat refleksologi, kantin, pusat hiburan

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 24 warga asing dalam serbuan di daerah ini dan Batu Pahat dalam operasi antara 4 November hingga 7 November lalu.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, menerusi Ops Gegar di beberapa premis pusat refleksologi sekitar Batu Pahat dari jam 7 hingga 10 malam, 4 November lalu, tujuh warga asing ditahan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita warga Vietnam serta seorang lelaki warga Myanmar semuanya berusia 25 hingga 33 tahun.

“Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun iaitu pemilik premis turut ditahan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, dalam Ops Pelantar dan Ops Selera di lokasi panas dekat Endau, Mersing pula, seramai enam warga asing dicekup bermula jam 3.30 petang hingga 4.50 petang, 6 November lalu.

Menurutnya, dalam operasi itu, seramai lima wanita warga Vietnam dan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 33 tahun hingga 48 tahun ditahan.

Sementara itu, pada hari yang sama, Mohd Rusdi berkata, pihaknya melakukan Ops Kutip di beberapa buah kantin sekolah di daerah ini dari jam 10.50 pagi hingga 12 tengah hari.

“Seramai lima lelaki Indonesia ditahan, semuanya berusia antara 22 tahun hingga 45 tahun,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, menerusi beberapa operasi di pusat hiburan di daerah ini pada hari yang sama juga, bermula jam 10.30 malam hingga 1 pagi, seramai 49 individu diperiksa.

Daripada jumlah itu, katanya, lima wanita warga Vietnam dan seorang lelaki warga Myanmar berusia antara 18 tahun hingga 32 tahun ditahan.

Menurut beliau, semua operasi berkenaan dilakukan selepas pihaknya mengesan terdapat warga asing yang bekerja tanpa pas atau permit sah serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, semua warga asing yang ditahan itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini