KUALA LUMPUR: Polis telah melengkapkan kertas siasatan kes pergaduhan melibatkan seorang penghantar barangan dan pengawal keselamatan di sebuah bangunan di ibu negara minggu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan kertas siasatan itu sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam.
“Kita sudah selesai menjalankan siasatan, seramai 23 orang telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya ditemui media selepas menghadiri majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kuala Lumpur.
Jumaat lalu, tular video pergaduhan melibatkan dua individu berkenaan disyaki berpunca daripada salah faham.
Difahamkan pergaduhan tercetus apabila penghantar barangan itu didakwa tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan.
Kertas siasatan berkaitan kejadian turut dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.