Tumpuan :
Jenayah

22 nelayan asing ditahan, minum ketum sebelum tangkap ikan

FOTO: Ihsan APMM

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 22 warga asing bersama 60 liter air ketum dalam sebuah bot pukat jerut kelas C di kedudukan 0.98 batu nautika tenggara Pulau Jarak, di sini, kelmarin.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, bot terbabit dikesan melakukan aktiviti perikanan oleh Kapal Maritim (KM) Tugau ketika melakukan rondaan rutin menerusi Op Sayong, Op Tanjung dan Op Tiris, jam 10.40 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot dikendalikan tekong warga Thailand bersama empat kru Thailand dan 17 kru warga Kemboja berumur dalam antara 24 hingga 57 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

FOTO: Ihsan APMM

“Bagaimanapun, tekong gagal mengemukakan dokumen kelulusan penggunaan peralatan komunikasi serta beroperasi kurang dari 15 batu nautika dari daratan.

“Pemeriksaan lanjut menemuikan kira-kira 60 liter cecair disyaki air ketum serta kira-kira 200 kilogram ikan di bot berkenaan.

“Semua nelayan ditahan manakala bot, hasil tangkapan, peralatan menangkap ikan serta cecair disyaki air ketum dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana tidak mempunyai kelulusan penggunaan radar dan peranti, Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi kurang dari 15 batu nautika serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan itu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini