comscore
Tumpuan :
Jenayah

20 lelaki berpakaian wanita ditahan dalam serbuan JAWI, Polis

PETALING JAYA: Seramai 20 lelaki berpakaian wanita dan dua lelaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah ditahan dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan, ibu negara malam tadi.

Serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada jam 10 malam, hasil maklumat awam mengenai aktiviti hiburan di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata semasa serbuan dibuat terdapat 62 pelanggan membabitkan 53 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 19 hingga 57 tahun berada dalam premis berkenaan.

Hasil pemeriksaan ke atas semua pelanggan, dua lelaki berusia 27 dan 29 tahun didapati positif dadah jenis THC.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Manakala 20 lelaki lagi berusia antara 22 hingga 34 tahun yang didapati berpakaian wanita ditahan dan dibawa balik oleh JAWI bagi siasatan di bawah Seksyen 28, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

ACP Noor Dellhan berkata pihaknya akan meningkatkan operasi dan pemeriksaan di pusat hiburan serta membuat pemantauan ke atas aktiviti kelab yang jelas dan tidak mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Katanya semua pusat hiburan dalam daerah Dang Wangi, yang melakukan kesalahan berkaitan jenayah, narkotik dan beroperasi melebihi masa yang dibenarkan tidak akan terlepas dari pemantauan dan risikan yang dijalankan oleh pihak polis.

Loading...
Terkini