comscore
Tumpuan :
Jenayah

2 suspek samun berparang ditahan polis

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh (tengah) bersama dua pegawai menunjukkan senjata dan peralatan suspek kes samun yang dirampas.

SHAH ALAM: Polis memberkas dua suspek disyaki terbabit dengan kes samun bersenjatakan parang dalam kejadian di Banting, Kuala Langat, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, suspek ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa kira-kira 4.30 petang Selasa lalu.

“Pengadu (mangsa) adalah seorang wanita tempatan melaporkan rumahnya dimasuki dua lelaki tempatan dan memakai topeng.

“Menurut pengadu, suspek bertindak mengikat kedua-dua tangannya lalu mengambil barangan berharga dan wang tunai sebelum melarikan diri.

“Pengadu kemudian berjaya melepaskan ikatan dan meminta bantuan jiran berdekatan serta tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, kira-kira 8.15 malam semalam, sepasukan anggota polis berjaya menangkap kedua-dua suspek berusia 30 dan 21 tahun di Sungai Sedu, Banting.

“Semakan polis mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 11 dan tujuh rekod jenayah dengan salah seorang suspek mempunyai dua rekod kes dadah.

“Polis turut merampas dua bentuk cincin emas dan peralatan pecah rumah,” katanya memaklumkan suspek direman lima hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini