![](https://media.buletintv3.my/2023/12/GEN-POLIS-JENAYAH-LOGO-PDRM-4.jpg)
KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki semalam kerana disyaki terbabit dalam satu kejadian ragut di Balakong, Cheras dekat sini, Rabu lalu.
Kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia 28 dan 31 tahun itu ditahan di Batu 9, Cheras, sekitar jam 8.35 malam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian ragut itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.30 petang Rabu lalu.
Dalam kejadian itu, beliau berkata, mangsa yang juga seorang wanita berusia 21 tahun sedang berjalan di kawasan Balakong sebelum beg tangannya diragut dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal.
“Mangsa tampil membuat laporan polis pada jam 7.37 malam hari kejadian. Hasil siasatan dan risikan berjaya membawa kepada penahanan kedua-dua suspek.
“Hasil tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan yang disahkan milik mangsa, termasuk beg tangan, dompet, kad pengenalan, lesen memandu, kad Touch n Go serta kad rawatan hospital,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, Naazron berkata, polis merampas sejumlah mata wang asing, 12 telefon bimbit, dua tablet komputer, sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dan pakaian yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.
“Hasil semakan mendapati dua suspek itu masing-masing ada lima rekod lampau berkaitan kes jenayah dan empat rekod kes narkotik.
“Malah ketika tangkapan, polis turut menjumpai dua peket lutsinar dipercayai mengandungi dadah dalam milikan suspek,” katanya.
Naazron berkata, hasil ujian awal saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek disahkan positif dadah jenis methamphetamine.
“Mereka kini direman enam hari hingga 13 Februari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, iaitu merompak secara berkumpulan tanpa senjata.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.
Dalam pada itu, Naazron meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit supaya tampil membantu siasatan polis.
Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan ataupun berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nor Farihin Mohd Yatim, melalui talian 017-3987188.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.