Tumpuan :
Jenayah

2 suspek diburu terbabit kes samun warga emas dan ragut wanita

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

SETIU: Seorang warga emas yang mengalami masalah penglihatan nyaris maut selepas dipukul di kepala menggunakan serpihan bata simen dalam kejadian samun di Felda Chalok Rahmat.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, mangsa Che Minah Che Lah, 72, dikatakan menjadi mangsa samun seorang wanita yang berpura-pura untuk menyewa rumahnya, kira-kira jam 1.15 petang semalam.

“Menurut mangsa, semasa berada di tangga rumahnya, dia telah didatangi seorang wanita berusia 30an yang bertanyakan tentang rumah untuk disewa sebelum suspek memimpin mangsa untuk melihat keadaan rumah.

“Ketika sedang melihat ruang bilik, suspek telah bertindak menekup muka mangsa menggunakan sehelai kain dan berlaku pergelutan antara suspek dan warga emas itu sebelum suspek memukul kepala mangsa menggunakan serpihan bata,” katanya.

Suspek telah melarikan bersama seutas rantai leher dan loket milik mangsa.

Mohd. Zain berkata jiran mangsa yang terdengar bunyi bising di rumah warga emas itu telah pergi melihatnya sebelum menemui mangsa yang cedera dan memaklumkan kepada ahli keluarga dan membawanya ke Hospital Setiu untuk dirawat.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Jalan Kampung Buruk, seorang pembantu kedai makan kerugian kira-kira RM400 selepas diragut sewaktu menunggang motosikal.

Mohd. Zain berkata dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang semalam, mangsa Hasmah Ali, 43, ketika kejadian dikatakan dalam perjalanan mengambil anak perempuannya pulang dari bekerja.

“Ketika melalui pintu gate air di Kampung Buruk, mangsa telah dihampiri seorang lelaki yang tidak dikenali dengan menunggang sebuah motosikal jenis Honda Wave berwarna merah”, ujarnya.

Suspek kemudiannya bertindak melarikan beg milik mangsa yang diletakkan di dalam raga motosikal sebelum melarikan diri ke arah Kampung Kederang.

Susulan itu, pihak polis kini sedang giat menjalankan operasi mengesan kedua-dua suspek terlibat dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini