
JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan dua sindiket pembungkusan dan pengedaran dadah, yang mencampurkan beberapa jenis bahan larangan itu dalam satu paket seperti ‘koktail’, bernilai hampir RM7 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, sindiket itu ditumpaskan dalam dua operasi khas dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan JSJN IPD Johor Bahru Selatan di Seri Alam dan Johor Bahru pada Selasa lalu.
Beliau berkata, sepaket dadah pelbagai jenis yang diletakkan dalam bungkusan menarik dengan label minuman terkenal, dijual pada harga RM250 hingga RM300 bergantung kepada saiz paket.
“Saya dah beritahu sebelum ini, sekarang ini mereka (sindiket) campurkan beberapa jenis dadah antaranya ketamin, syabu dan jadikan serbuk, dalam satu paket kandungan dadah pelbagai jenis, beli satu paket dapat semua kandungan (yang dicampur.
“Kalau kita lihat tahun ini punya rampasan dalam bentuk ini (dadah campuran), kami percaya hasil siasatan dan risikan mendapati memang permintaan sekarang adalah paket ini, ia memudahkan sindiket ini menggerakkan bahan ini tanpa disedari masyarakat dan penguat kuasa.
“Dalam serbuan pertama, polis melakukan dua serbuan di kawasan letak kenderaan dan juga sebuah hotel lebih kurang jam 7.20 pagi hingga 6 petang, berjaya menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam berumur 25 hingga 29 tahun, termasuk dalang, bersama pelbagai dadah bernilai RM1.56 juta.
“Modus operandi sindiket ini menjadikan kondominium yang berpengawal dan berpagar sebagai tempat penyimpanan dadah sejak mereka aktif mulai Januari lalu,” katanya dalam sidang media di IPK Johor, hari ini.
Kumar berkata, dalam serbuan itu polis merampas 9,28 kilogram (kg) serbuk ekstasi, ketamin (74 gram), pil eramin ‘five’ (90 biji), pil ekstasi (26 biji) dan 17 milliliter cecair ekstasi, selain menyita dua kereta, wang tunai RM15,450 dan pelbagai barang kemas, yang keseluruhan berjumlah RM95,490.
Beliau berkata, dalam serbuan kedua pula empat individu termasuk seorang wanita tempatan ditahan menerusi empat tindakan di sekitar bandaraya ini pada Selasa dan Rabu lalu.
Katanya kesemua suspek berumur 17 (tidak bersekolah) hingga 42 tahun ditangkap bersama pelbagai dadah bernilai RM5.38 juta.
“Polis berjaya merampas 32.2 kg, serbuk ekstasi, syabu (13.50 gram) dan pil eramin (lapan biji). Turut disita sebuah kereta dipercayai kenderaan curi, dua buah motosikal dan wang tunai dengan nilai RM3,659.
“Sindiket ini berlainan tetapi modus operandi mereka adalah sama dengan sindiket pertama, yang telah beroperasi sejak bulan lalu.
“Polis menahan reman kesemua suspek dalam dua sindiket ini sehingga 12 Mac ini untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kedua-dua rampasan dadah ini, sekiranya terlepas boleh digunakan seramai 138,881 penagih,”katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.