Tumpuan :
Jenayah

2 sindiket dadah di Pulau Pinang tumpas, 7 ditahan

Foto: PDRM

GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah menerusi dua operasi yang dijalankan di sekitar negeri bermula 17 Januari lalu dan berakhir hari ini dengan tujuh individu ditahan.

Ia membabitkan rampasan dadah dan jumlah sitaan bernilai lebih RM1.32 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, serbuan pertama yang dijalankan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang telah menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing.

Turut dirampas dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 5.9 kilogram (kg) dan ketamin (915.71 gram) bernilai lebih RM1.05 juta.

“Mereka ditahan di sekitar Butterworth antara 7 pagi hingga 5 petang semalam dan kesemuanya berusia 25 hingga 34 tahun.

“Sindiket itu aktif sejak Oktober 2024 dan dadah yang dirampas boleh digunakan kira-kira 50,000 penagih,” katanya pada kenyataan.

Hamzah berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati, dua daripada suspek positif dadah jenis Methamphetamine, Mmphetamine, ketamin dan benzo.

“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 yang mana kereta, barang kemas, jam tangan berjenama dan wang tunai turut disita.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah lebih RM1.10 juta dan kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 25 Januari bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, menerusi serbuan kedua yang dijalankan sekitar 10.15 malam hingga 1.45 pagi di Georgetown, empat lelaki tempatan berusia 24 hingga 48 tahun ditahan kerana terbabit dengan pengedaran pelbagai jenis dadah.

“Kami antaranya merampas heroin seberat 4.99kg. Sindiket ini aktif sejak pertengahan 2024.

“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 yang mana kereta serta barang kemas turut dirampas. Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta ialah RM219,215.

“Seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah. Kesemuanya direman tujuh hari sehingga 24 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini