comscore
Tumpuan :
Jenayah

2 remaja ditahan, berlumba motosikal sesama sendiri

Foto hiasan

PENAMPANG: Dua remaja ditahan polis ketika sedang berlumba motosikal semasa sendiri di Jalan Putatan, di sini, awal pagi tadi.

Remaja yang masing-masing berusia 16 dan 18 tahun itu ditahan sepasukan polis ketika menjalankan Op Samseng Jalanan di kawasan berkenaan.

Op Samseng Jalanan yang bermula jam 11 malam dan berakhir 5 pagi tadi dijalankan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan dibantu Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ketika pemantauan dibuat, terkesan dua motosikal sedang melakukan aksi berlumba sesama sendiri dengan cara menduga kelajuan dan pihak polis bertindak mengekori.

“Kedua-dua suspek berakhir berjaya diberkas polis bersama motosikal berdekatan dengan sebuah stesen minyak.

“Motosikal milik kedua-dua suspek turut disita,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mana-mana orang mengambil pertandingan atau menduga kelajuan kenderaan bermotor di atas jalan raya yang tidak diluluskan.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mempamerkan apa-apa plat yang diubah, ditambah atau apa-apa tiruan pada plat untuk dipamerkan pada satu kenderaan motor,” katanya.

Sementara itu, Mohd Haris berkata, ketika operasi itu dijalankan, polis memeriksa 20 kenderaan dan mengeluarkan 15 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Polis khususnya IPD Penampang amat serius dalam membanteras samseng jalanan kerana ia boleh mengancam nyawa bukan hanya kepada pelaku tetapi juga nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya.

Loading...
Terkini