Tumpuan :
Jenayah

2 pesara guru rugi lebih RM2.2 juta akibat scammer

Foto hiasan

KUANTAN: Dua pesara guru di Pahang kerugian lebih RM2.2 juta selepas diperdaya scammer.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata dalam kes pertama, lelaki berusia 71 tahun itu kerugian RM1,875,199 selepas menyertai skim pelaburan di Facebook.

Berdasarkan laporan, mangsa menekan satu pautan yang diberikan suspek sebelum dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp.

“Selepas itu, mangsa diminta untuk memuat turun satu aplikasi bernama CAP MAX dan diminta untuk mengisi maklumat peribadi, memuat naik gambar, kad pengenalan dan nombor akaun bank.

“Mangsa dijanjikan akan mendapat pulangan sebanyak 30 peratus dan bersetuju memasukkan wang berjumlah RM10,000. Pada November lalu, mangsa menyemak dan mendapati keuntungan pelaburan telah masuk ke dalam akaun mangsa di aplikasi itu.

“Melihat kepada keuntungan itu, mangsa kemudian membuat 21 lagi transaksi kepada enam akaun yang berbeza. Mangsa mula sedar ditipu selepas diminta untuk memasukkan wang berjumlah RM2.84 juta.

“Mangsa cuba mengeluarkan wang keuntungan tetapi tidak berjaya. Jumlah keseluruhan kerugian mangsa ialah RM1,875,199 yang juga wang simpanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes kedua pula, Yahaya berkata, pesara wanita berusia 60 tahun kerugian RM333,000 selepas dikatakan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Sebelum itu, mangsa menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai ejen insurans yang memaklumkan bahawa ada individu yang membuat tuntutan insurans atas nama mangsa tetapi mangsa menafikannya.

“Selepas panggilan dimatikan, mangsa menerima satu panggilan daripada individu memperkenalkan sebagai Sarjan Zaidi yang memaklumkan nama mangsa terbabit dengan pengubahan wang haram yang membabitkan akaun BSN berjumlah RM2.8 juta.

“Mangsa menafikan perkara itu kerana tidak pernah mempunyai akaun BSN. Suspek kemudiannya meminta mangsa memasukkan wang daripada akaun bank milik mangsa ke akaun bank yang diberikan bertujuan untuk siasatan daripada Bank Negara.

“Pada masa sama, mangsa diarah untuk membuat pinjaman wang di bank dan mangsa juga menjual barang kemas miliknya.

“Mangsa kemudiannya menyedari perbuatan berkenaan adalah scammer dan disyaki ditipu selepas diminta untuk memasukkan lagi wang. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini