Tumpuan :
Jenayah

2 penjenayah ditahan tak sampai 24 jam selepas samun wanita

KUALA TERENGGANU: Dua penjenayah diberkas dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas menyamun seorang wanita, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, seorang pengadu wanita berusia 21 tahun bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan membuat laporan dia disamun.

Menurutnya, laporan dibuat jam 8.18 pagi selepas menjadi mangsa samun berhampiran Wisma Haq Wasa, dekat sini.

Dua lelaki dipercayai menaiki motosikal jenis Yamaha NVX tanpa nombor pendaftaran menolak mangsa ke bahu jalan sehingga cedera lutut kiri sebelum meragut beg tangan mangsa.

“Mangsa kehilangan sebuah telefon bimbit, kunci kereta, dompet, kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM dan pengecaj telefon akibat kejadian itu.

“Susulan laporan itu, kami membuat risikan dan kurang daripada 24 jam kami dapat menahan suspek.

“Suspek diberkas berdasarkan hasil rakaman CCTV,” katanya sambil menambah suspek pertama ditahan di Panji Alam.

Suspek kedua berusia 27 tahun ditahan di Kampung Seberang Baroh dekat sini dan turut dirampas sebuah motosikal Yamaha NVX yang digunakan ketika kejadian.

Polis turut mendapatkan kembali barangan milik mangsa antaranya kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM dan dompet. Suspek direman enam hari mulai hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini