comscore
Tumpuan :
Jenayah

2 pelajar IPT ditahan, disiasat pembabitan dalam kes serangan balai polis

Polis melakukan siasatan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor. – Foto: NSTP

RINGKASAN BERITA

  • 2 pelajar IPT yang ditahan, hadir ke balai untuk membuat laporan mengenai kes cabul, dan pada masa sama suspek masuk menaiki motosikal.
  • “Adalah tidak logik untuk melaporkan kes cabul 2 tahun lalu pada jam 2.30 pagi,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

JOHOR BAHRU: Dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ditahan dipercayai ada kaitan dengan serangan Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebelum serangan itu berlaku dua pelajar yang masing-masing lelaki dan perempuan berusia 21 dan 22, hadir ke balai untuk membuat laporan polis.

Katanya, mereka mahu membuat laporan polis mengenai kes cabul yang sudah berlaku dua tahun lalu.

Beliau berkata, ketika itu dua pelajar berkenaan sedang membuat laporan polis dan pada masa itulah suspek masuk ke Balai Polis menaiki motosikal terus ke bahagian belakang balai.

“Seorang anggota pergi ke bahagian untuk memeriksa sebelum menetak mati suspek. Dia kemudian ambil senjata api anggota berkenaan.

“Dua anggota cegah jenayah telah dimaklumkan mengenai serangan itu sebelum mereka tiba di lokasi dan berlaku tembak menembak.

“Akibat insiden tembak menembak itu, seorang lagi anggota maut apabila peluru yang terkena di bahagian pipi tembus di kepala.

“Namun seorang lagi anggota berjaya menembak mati suspek,” katanya.

Sehubungan itu, Razarudin berkata, dua pelajar itu ditahan bagi siasatan lanjut pembabitan mereka dengan serangan itu.

“Adalah tidak logik untuk melaporkan kes cabul dua tahun lalu pada jam 2.30 pagi.

“Ketika laporan sedang dibuat pula, tiba-tiba balai diserang. Jadi kita akan siasat dengan rapi dua pelajar berkenaan,” katanya.

Loading...
Terkini