Tumpuan :
Jenayah

2 lelaki warga asing tikam, samun majikan diburu

Dua lelaki warga asing diburu polis selepas menikam dan menyamun dua beranak di kebun sawit di Kampung Napagang Entilibon, Tongod, Beluran. – FOTO: Ihsan PDRM

BELURAN: Polis sedang memburu dua lelaki warga asing selepas menikam dan menyamun dua beranak yang juga majikan suspek di kebun persendirian milik mangsa di Kampung Napagang Entilibon, Tongod, semalam.

Mangsa lelaki berusia 50 tahun dan anak lelakinya berusia 23 tahun yang cedera di beberapa bahagian badan akibat ditikam menggunakan senjata tajam dan kini menerima rawatan di Hospital Duchess Of Kent (HDOK), Sandakan.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, pihaknya menerima laporan daripada isteri mangsa mengatakan suami dan anaknya cedera ditikam menggunakan senjata tajam dipercayai besi mengangkat buah sawit di kebun sawit mangsa, kira-kira jam 3 petang.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di kebun persendirian milik mangsa. Kedua-dua suspek sudah dikenal pasti yang juga pekerja kepada mangsa.

“Kedua-dua suspek adalah warga Indonesia dikenali sebagai Anuar berusia lingkungan 40-an dan Saril berusia lingkungan 20-an,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasan berkata, kedua-dua suspek terbabit bertindak melarikan diri selepas mencederakan mangsa dua beranak sebelum membawa lari sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux Single Cab warna putih dengan nombor pendaftaran SAB7801P, milik mangsa.

“Selain itu, barang-barang milik mangsa seperti dokumen penting, telefon bimbit dan dompet turut dibawa lari.

“Manakala kedua-dua mangsa yang cedera di bahagian badan, belakang badan, lengan dan paha telah dihantar ke HDOK untuk rawatan lanjut,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, polis telah membuka satu kertas siasatan yang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai turut diminta untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian ini dan juga apa-apa maklumat berkaitan Kedua-dua suspek yang melarikan diri.

“Polis juga menggesa mana-mana saksi yang ada melihat kejadian ini untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Sandra di talian 011-28066182, Asisten Superintendan Polis, Henry AK Laiyau di talian 010-9416656, Balai Polis Beluran (089-511222) dan Balai Polis Tongod (087-748223),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini