KUALA LUMPUR: Dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, terbakar selepas dipercayai dibaling bom petrol, awal pagi Khamis.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, dua lelaki masing-masing berusia 25 tahun itu ditahan di rumah mereka di Batu Caves, Selangor kira-kira jam 3 petang semalam.
“Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek terbabit akan dibuat hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 435/506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api serta ugutan jenayah.
“Setakat ini, kami sudah mengambil keterangan dua individu membabitkan pemilik premis serta pengurus pusat hiburan berkenaan.
“Motif kejadian ini masih dalam siasatan. Berdasarkan siasatan awal, kami menolak kemungkinan kejadian ini mempunyai kaitan dengan aktiviti ekstremis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Balai Polis Jinjang, di sini, semalam.
Terdahulu, media melaporkan sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, terbakar selepas dipercayai dibaling dengan bom petrol, awal pagi kelmarin.
Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 45 saat berhampiran premis terbabit tular di media sosial, sejurus kejadian.
Rakaman itu menunjukkan empat lelaki menaiki dua motosikal berhenti di hadapan premis terbabit dan membaling dua bom petrol sebelum beredar dari lokasi kejadian.
Satu lagi rakaman video berdurasi 42 saat yang turut tular di media sosial pula menunjukkan premis berkenaan terbakar dengan terdapat orang awam membantu memadamkan kebakaran.
Berdasarkan tarikh dan masa yang terdapat pada rakaman video CCTV terbabit, kejadian itu berlaku jam 2.18 pagi, 9 Mei.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.