comscore
Tumpuan :
Jenayah

2 ditahan sebar kertas undi pos melalui WhatsApp

KOTA BHARU: Dua lelaki ditahan susulan penyebaran kertas undi pos melalui WhatsApp bagi kerusi Parlimen Gua Musang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki berusia 20-an dan 50-an itu masing-masing ditahan jam 11.30 malam dan 2 pagi tadi.

“Penyebaran kertas undi pos itu mungkin akan menjejaskan atau sedikit sebanyak mengganggu perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

“Polis akan berbincang dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, hari ini.

Menurut Muhamad Zaki pihaknya sedang menyiasat kejadian itu termasuk motif penyebaran kertas undi pos berkenaan.

Kedua-dua lelaki itu ditahan reman tiga hari sehingga Jumaat untuk siasatan mengikut Seksyen 317 J Akta Kesalahan Pilihan Raya dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM).

Dalam pada itu, Muhamad Zaki berkata, pihaknya menerima 58 laporan polis sehingga hari ini membabitkan pelbagai kesalahan, namun tiga kertas siasatan sahaja dibuka.

Ia membabitkan penyebaran kertas undi pos di Gua Musang, perbuatan khianat dengan merosakkan bendera di Bachok dan laporan polis daripada calon Pengkalan Chepa berkenaan kelulusan pendidikan.

“Perbuatan khianat merosakkan bendera parti disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK), manakala laporan polis calon berhubung isu tular kelulusan calon dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan 233 AKM,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, pihaknya menerima 121 permohonan permit ceramah daripada semua parti yang bertanding sehingga hari ini.

“Semua permit diluluskan kerana tidak mempunyai masalah termasuk kempen dari rumah ke rumah pengundi.

“Setakat ini, kempen dari rumah ke rumah pengundi tidak menerima sebarang aduan daripada masyarakat ” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini