comscore
Tumpuan :
Jenayah

2 ditahan, dadah bernilai lebih RM426 ribu dirampas

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di ibu pejabat Polis Kontigen (IPK) Sarawak, Kuching.

KUCHING: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah susulan penahanan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM426,600 dalam dua operasi berasingan di Miri.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, kedua-dua suspek itu masing-masing berusia 26 tahun ditahan pada 19 dan 21 Januari lalu di sebuah Pangsapuri di Taman Piasau, Miri serta di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Miri.

“Siasatan awal mendapati suspek pertama memperoleh bekalan dadah daripada rakan sejenayahnya untuk diproses dan dibungkus sebelum dipasarkan di sekitar bandaraya Miri.

“Manakala suspek kedua pula diupah untuk membawa masuk dadah dari Semenanjung Malaysia menggunakan laluan udara dengan bayaran sebanyak RM8,000,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Polis Kontigen (IPK) Sarawak di sini.

Beliau berkata, suspek terbabit turut diarahkan oleh sindiket untuk membawa dadah berkenaan ke Sabah.

Justeru katanya, polis turut melakukan siasatan sama ada tindakan suspek terbabit mempunyai kaitan dengan tertumpasnya sindiket pengedaran dadah Geng Upik atau sindiket dadah lain di negeri berkenaan.

“Kita masih jalankan siasatan (kaitan dengan Geng Upik) tetapi setakat ini penemuan kita tidak ada perkaitan dengan geng terbabit.

“Siasatan akan diteruskan juga bagi mengenalpasti sama ada terdapat kemungkinan ada melibatkan sindiket-sindiket lain di Sabah,” katanya

Mancha berkata, semakan terhadap kedua-dua suspek turut mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan perjudian.

Jelasnya, suspek pertama ditahan reman selama enam hari bermula 21 hingga 26 Januari sementara suspek kedua direman selama lima hari bermula 22 hingga 27 Januari ini.

Kedua kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Loading...
Terkini