Tumpuan :
Jenayah

2 beradik, wanita hamil ditahan kes pecah gudang

Foto: NSTP

BUKIT MERTAJAM: Dua beradik dan seorang wanita yang hamil lapan bulan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes pecah gudang alat permainan di Alma di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Assisten Komisioner Tan Cheng San berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada pemilik gudang pada 12.22 tengah hari, 24 Oktober lalu berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, gudang itu pernah dipecah masuk kira-kira tiga bulan lalu dan dipecah masuk sekali lagi yang dipercayai dilakukan suspek yang sama.

“Kejadian ini disedari pemilik gudang sendiri apabila dia gagal mengakses rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melalui telefon pintar sebelum dia lokasi berkenaan untuk memeriksa.

“Pemilik gudang kemudiannya mendapati bahagian pejabat gudang itu dipecah masuk dan terdapat dua komputer riba hilang sebelum dia membuat laporan polis.

“Sebelum ini, pemilik sama kerugian RM180,000 apabila wang disimpannya dalam gudang itu dilarikan suspek yang memecah masuk premis kira-kira tiga bulan lalu,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.

Menurutnya, susulan itu polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan adiknya yang berusia 25 tahun di sebuah rumah dekat sini bagi membantu siasatan.

“Turut ditahan adalah seorang wanita iaitu isteri kepada suspek pertama yang kini sedang mengandung lapan bulan.

“Melalui semakan mendapati suspek pertama mempunyai 11 rekod jenayah berkaitan pecah rumah dan pecah masuk beberapa bangunan lain, manakala adiknya pula memiliki lima rekod yang sama termasuk berkaitan dadah.

“Kita percaya, dengan penangkapan dua beradik ini termasuk isteri suspek pertama berjaya menyelesaikan dua kes aduan membabitkan kejadian pecah gudang dan kedai di sekitar Seberang Perai Tengah yang dilaporkan antara bulan Julai dan Oktober lalu,” katanya.

Cheng San berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas beberapa barangan termasuk pakaian, pedang samurai, laptop, beg silang, telefon bimbit, pemutar skru dan sebuah motosikal.

“Polis turut merampas beberapa barang yang dipercayai dibeli menggunakan wang yang diperoleh hasil daripada pecah gudang itu termasuk sebuah kereta, dua motosikal, empat telefon bimbit, sebuah televisyen, satu set bilik tidur dan dua mesin basuh.

“Selain itu, kita juga merampas tiga bentuk cincin, dua utas rantai tangan, seutas jam tangan pintar serta 12 helai resit pembelian serta resit gadaian emas,” katanya.

Menurutnya, ketiga suspek itu kini direman selama tujuh hari hingga Isnin hadapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini