Tumpuan :
Jenayah

2.72 Tan Minyak Masak Paket Subsidi Dirampas

FOTO: Harian Metro / Ihsan KPDNHEP

KOTA BHARU: Pihak berkuasa menahan dua lelaki tempatan serta merampas 2.72 tan minyak masak paket bersubsidi pada operasi bersepadu di sini, jam 3 petang semalam.

Penahanan dijalankan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor serta Tok Bali.

Lori jenis Isuzu dinaiki dua lelaki terbabit ditahan selepas dilihat dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Pauh Lima, Bachok.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan Aswadi Jaafar berkata, lori itu ditahan di Peringat selepas diekori kira-kira 20 minit.

“Pemeriksaan menemui 2.72 tan minyak masak paket bersubsidi bernilai RM6,800 di dalam lori itu.

“Pemandunya gagal mengemukakan dokumen pemilikan barang kawalan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aswadi berkata, pihaknya syak minyak masak itu akan dihantar ke stor transit sementara di sekitar sempadan sebelum diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram.

Katanya lagi, pemandu serta kelindan yang berusia 40-an dan 50-an ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki memiliki barang kawalan tanpa lesen dengan niat melakukan kesalahan.

Loading...
Terkini