comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] 186 kes penipuan pelaburan ‘patuh syariah’ guna gambar individu ternama dikesan 

 

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJ) mengesan kewujudan pelbagai iklan pelaburan saham ‘islamic’ dan ‘patuh syariah’ yang disiarkan secara berleluasa di beberapa platform media sosial.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata sepanjang tahun 2020 hingga Mei ini, sejumlah 186 kes disiasat berkaitan skim penipuan pelaburan ‘patuh syariah’ yang membabitkan jumlah kerugian keseluruhan RM5,411,571.61.

Menurutnya, menerusi iklan yang dipaparkan, skim pelaburan itu menawarkan keuntungan sehingga 50 kali ganda dari nilai wang yang dilaburkan.

“Malahan keuntungan juga didakwa akan dibayar seawal tiga jam selepas pelaburan dibuat.

“Lebih membimbangkan, paparan iklan itu turut menggunakan gambar individu-individu ternama termasuklah ahli politik, agamawan, selebriti, tokoh korporat dan pempengaruh media sosial dipercayai dengan tujuan untuk menarik perhatian pelabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata, melalui siasatan, individu terbabit tidak terlibat dengan skim pelaburan berkenaan dan tidak pernah memberikan kebenaran untuk gambar-gambar mereka digunakan.

“PDRM mengesahkan menerima laporan polis daripada beberapa individu ternama berkenaan penyalahgunaan gambar mereka oleh skim pelaburan itu.

“Sebagai langkah pencegahan, PDRM mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan tidak sesekali terpengaruh dengan skim pelaburan yang menawarkan keuntungan yang terlalu lumayan.

“Lakukan semakan yang terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan,” katanya.

Beliau berkata, dapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti portal semak mule, alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan.

Loading...
Terkini