
KUALA LUMPUR: Seramai 18 wanita warga asing dipercayai pelacur ‘kaki lima’ ditahan polis dalam tujuh serbuan Op Bersepadu KL Strike Force di sekitar Jalan Changkat Bukit Bintang di sini, kelmarin.
Dalam serbuan bermula 12.45 tengah malam sehingga 2 pagi, kesemua wanita terbabit sedang melayan pelanggan dalam hotel bajet dan mencari pelanggan di tepi jalan sekitar kawasan berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, operasi dijalankan pasukan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Seramai 18 wanita warga asing bekerja sebagai pelacur berjaya ditahan. Mereka yang ditahan terdiri daripada lapan wanita warga Uganda; Vietnam (3); Tanzania (2); Thailand (2); dan masing-masing seorang warga Nigeria; Kenya serta Indonesia.
“Turut ditahan lapan lelaki disyaki penjaga premis dan pelanggan terdiri daripada tiga warga Bangladesh, masing-masing seorang warga Nepal; Mesir; Amerika Syarikat; Singapura serta tempatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Rusdi berkata, dalam serbuan itu pasukan merampas peralatan seks dan wang tunai hasil daripada aktiviti pelacuran mereka.
“Berdasarkan siasatan, wanita warga asing terbabit bekerja secara separuh masa sebagai pelacur dan mensasarkan warga asing yang datang berhibur di sekitar Bukit Bintang.
“Bayaran yang dikenakan pula serendah RM100 bagi setiap perkhidmatan,” katanya.
Katanya, kesemua ditahan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut.
Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1956/63.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.