Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Polis menahan 15 individu melibatkan tiga sindiket mencuri kabel dari Geng Aji Lebai, Geng Zali Black dan Geng Ogy yang dipercayai aktif melakukan aktiviti mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sekitar Alor Setar, Kubang Pasu dan Baling.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata penahanan ke semua suspek ini dilakukan di antara 6 hingga 11 Jun lalu, melibatkan kerugian lebih RM150,000.
“Kesemua kumpulan ini dipercayai aktif sejak enam bulan lalu, dan menggunakan modus operandi yang hampir sama. Mereka menyamar seperti kontraktor penyelengaraan sebelum memecah masuk ke kawasan adanya kabel, dan lakukan pencurian.”
“Suspek juga mensasarkan kabel milik syarikat yang diletakkan di tepi jalan untuk projek pemasangan. Mereka menyewa lori pengangkut untuk membawa kabel tersebut terus kepada pembeli.”
Dalam kes pertama katanya, polis mendapat aduan berhubung kehilangan dua dram kabel milik TNB di Kubang Pasu dianggarkan bernilai RM80,000.
Hasil siasatan kemudiannya membawa kepada penahanan lapan lelaki dari :Geng Zali Black”, yang berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun.
Bagi kes kedua, polis katanya mendapat maklumat kecurian kabel milik TM di kawasan Stadium Peremba, Alor Setar pada 9 Jun lalu dan berjaya menahan empat lelaki dari ‘Geng Aji Lebai’ yang berusia antara 38 hingga 54 tahun.
“Polis telah menahan sebuah kenderaan jenis Naza Citra yang dinaiki lelaki berusia 39 tahun sebelum menjumpai kabel dan peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan itu. Hasil siasatan lanjut, telah membawa kepada penahanan sebuah lagi kenderaan jenis Nissan Sentra yang dinaiki tiga suspek.
“Semasa tangkapan dijalankan, suspek telah bertindak mengundur dan melanggar seorang anggota polis. Polis telah bertindak melepaskan satu das tembakan dan salah seorang suspek telah mengalami kecederaan ringan manakala anggota polis berkenaan mengalami patah kaki kanan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata bagi kes ketiga pada 11 Jun lalu, polis menahan dua kenderaan yang dinaiki tiga lelaki yang berusia antara 37 hingga 42 tahun di kawasan Masjid Titi Teduri, Baling dan hasil pemeriksaan telah menjumpai kabel TM yang dianggarkan bernilai RM20,000.
“Hasil saringan urin mendapati mereka positif dadah jenis methaphetamine dan ada yang mempunyai rekod jenayah lampau yang melibatkan pelbagai jenayah. Kesemua suspek masih dalam tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 379 dan Seksyen 431A,” katanya.
Tambah Datuk Fisol, polis sedang mengesan enam lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes berhubung kecurian kabel dan polis berharap masyarakat dapat membantu menyalurkan maklumat melalui talian MERS 999.