comscore
Tumpuan :
Jenayah

143 PATI tinggal lebih masa dipenjara 3 hingga 6 bulan

FOTO: Ehsan Jim Johor

PONTIAN: Seramai 143 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga asing dihadapkan di Mahkamah Majistret Pontian di sini atas tuduhan memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah dan tinggal lebih masa.

Kesemua tertuduh lelaki warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan India berusia antara 20 hingga 60an mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibaca di hadapan Majistret, Faridah Zahari.

Mengikut pertuduhan, 95 daripada warga asing didakwa tinggal di Malaysia tanpa dokumen yang sah.

FOTO: Ehsan Jim Johor

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di dua pusat penempatan pekerja di sekitar Gelang Patah antara jam 1 hingga 3 pagi, pada 13 Oktober lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 5 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, serta enam sebatan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan daripada tarikh tangkapan.

Manakala 48 lagi warga asing didakwa tinggal di negara ini dengan pasport yang sudah tamat tempoh.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditahan di tempat dan masa yang sama.

FOTO: Ehsan Jim Johor

Mereka dituduh mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara antara tiga hingga enam bulan daripada tarikh tangkapan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Negeri Johor Sarvena Giman dan Nor Khalilah Johari manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Loading...
Terkini