comscore
Tumpuan :
Jenayah

14 PATI jalan kaki redah laluan haram dari Thailand masuk Malaysia

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menaiki pesawat dari Indonesia ke Thailand sebelum sanggup berjalan kaki meredah laluan haram di sempadan Malaysia -Thailand untuk memasuki negara ini.

Pendatang asing tanpa izin (PATI) itu kemudian menaiki kenderaan ke lokasi yang ditetapkan untuk menaiki bas menuju Kuala Lumpur.

Itu modus operandi sindiket yang dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan tertangkapnya 14 PATI dalam operasi khas di hentian bas Jalan Duta, Kuala Lumpur pada jam 10 pagi semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi dijalankan oleh sepasukan pegawai imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM hasil maklumat awam.

“PATI dipercayai baru masuk ke negara ini secara tidak sah melalui laluan haram di sekitar Chuping, Perlis. Pasukan operasi telah mengesan bas yang membawa sekumpulan 14 PATI tersebut di lebuhraya dan bertindak mengekori sehingga ke hentian bas Jalan Duta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebaik tiba di hentian bas berkenaan, pasukan operasi melakukan pemeriksaan ke atas penumpang bas berkenaan.

Pihaknya menahan sembilan lelaki dan lima perempuan, kesemuanya warga Indonesia berusia antara 15 hingga 49 tahun.

Semakan ke atas pasport mendapati ada cap keluar Imigresen Thailand dan cap masuk Imigresen Malaysia (Padang Besar) yang disyaki palsu.

“Cap masuk imigresen palsu digunakan di dalam pasport mereka bertujuan mengaburi pihak berkuasa kononnya mereka masuk secara sah dan melalui pemeriksaan imigresen. Lapan orang daripada mereka dikesan memiliki rekod senarai hitam daripada memasuki Malaysia berdasarkan kesalahan lampau. Selebihnya tidak memiliki sebarang rekod kemasukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, kesemua PATI terbabit mengaku membayar ejen di negara mereka sebanyak RM5000 hingga RM6000 untuk urusan kemasukan ke negara ini.

Kesemua mereka juga mengaku tidak membuat pemeriksaan imigresen semasa masuk dan hanya ejen yang menguruskan pasport mereka semasa berada di rumah penampungan.

“Tujuan mereka masuk adalah untuk bekerja semula di tempat lama mereka bekerja di sekitar Kuala Lumpur dan bekerja dengan majikan baru yang telah diatur awal,” katanya.

Kesemua PATI terbabit ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini