PETALING JAYA: Selangor mencatatkan peningkatan kadar jenayah dengan 13,740 kes jenayah kekerasan dan harta benda pada tahun lalu.
Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan daripada jumlah itu, 2,951 kes membabitkan jenayah kekerasan, manakala 10,789 kes berkaitan jenayah harta benda.
“Jumlah itu menunjukkan kenaikan sebanyak 758 kes iaitu 5.8 peratus berbanding pada 12,982 kes jenayah yang direkodkan pada 2022.
“Peningkatan ini adalah disebabkan peningkatan aktiviti ekonomi membabitkan individu tempatan dan warga asing di negeri ini.
“Bagaimanapun, peningkatan itu adalah minimum dan masih rendah berbanding jumlah direkodkan pada lima tahun kebelakangan ini termasuk di IPD (Ibu Pejabat Polis) IPD Klang (Selatan dan Utara),” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, semalam.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 12,107 kertas siasatan dibuka dengan 8,208 kes atau 67.9 peratus berjaya diselesaikan.
“Jumlah itu melebihi indeks prestasi utama (KPI) ditetapkan. Bagi individu yang sudah dituduh di mahkamah pula direkodkan sebanyak 50.6 peratus.
“Bagi jenayah komersial pula merekodkan peningkatan kes dua kali ganda dengan 27,248 kes dicatatkan pada tahun lalu berbanding 17,976 kes atau 51.6 peratus pada 2022,” katanya.
Daripada jumlah itu, katanya, kerugian yang dicatatkan berkaitan jenayah komersial adalah RM438.2 juta di Selangor pada tahun lalu.
Tambahnya, ia membabitkan kes seperti penipuan telekomunikasi, e-dagang, e-kewangan, ‘Love Scam’, pinjaman wang tidak wujud, pemalsuan dan lain-lain jenayah komersial.
“Selain itu, kami juga menganggap ancaman dadah di negeri ini adalah serius kerana ia membabitkan keselamatan dan kestabilan negara.
“Sepanjang 2023, sebanyak 22,981 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah termasuk memiliki, mengedar dan lain-lain.
“Susulan itu, kami komited untuk membanteras dadah di Selangor dengan melancarkan dan menggerakkan Op Tapis Khas,” katanya.
Katanya, sebanyak 173,473 kes kemalangan direkodkan pada tahun lalu termasuk 1,035 kemalangan maut yang mengorbankan 1,091 nyawa.
“Polis Selangor terus komited untuk terus menjaga keamanan. Kami sudah mempunyai struktur dengan kewujudan 16 IPD di seluruh Selangor dengan kekuatan melebihi 15,000 pegawai dan anggota.
“Dengan aset dan kekuatan kita ada ini, saya percaya kami akan boleh mengekalkan keamanan dan menjaga keselamatan di negeri ini.
“Bagi kes yang disiasat, kita akan tingkatkan kadar penyelesaian bagi membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.