Oleh: Safwan Sawi
SANDAKAN: 12 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah dalam satu operasi penguatkuasaan Op Gegar di sebuah premis hiburan, di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata kesemua mereka ditahan atas kesalahan dikenal pasti tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
“Dalam operasi ini seramai 35 orang telah ditahan dan diperiksa dan 12 orang warga asing telah ditahan atas kesalahan yuang dikenalpasti iaitu tiada dokumen pengenalan diri Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya operasi bermula kira-kira 11.24 malam dan berakhir 12.18 tengah malam melibatkan kekuatan pegawai 13 orang terdiri dari Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu dan Sandakan.
Menurutnya tahanan terdiri daripada tiga orang perempuan warga negara Filipina dan seorang lelaki bersama lapan perempuan warga negara Vietnam.
Beliau berkata kesemua tahanan berumur di antara 15 ningga 38 tahun dan ditempatkan di Depot Imigresen Sandakan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Turut ditahan seorang warganegara Malaysia berumur 53 tahun kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Ujar Sitti lagi tindakan penguatkuasaan itu diambil susulan daripada aduan awam berhubung warga asing dipercayai tiada dokumen pengenalan diri dan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di premis hiburan terbabit.
Semasa operasi dijalankan didapati ada beberapa warga asing disyaki sedang bekerja dan dilihat sedang menunggu pelanggan di dalam bilik pusat hiburan berkenaan.
Susulan tangkapan itu Sitti mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.