Tumpuan :
Jenayah

12 nelayan ditahan, leka tangguk 3.5 tan lala

Foto: Lala

Oleh: Amira Suraini Che Mohamad

KANGAR: Strategi menggunakan bot nelayan dengan melencongkan bot rondaan penguatkuasa, berjaya mengaburi tonto yang selama ini menggagalkan operasi mereka.

Hasilnya, Maritim Zon Kuala Perlis berjaya menahan dua bot kelas A bersama 12 lelaki tempatan yang leka menangguk lala di perairan Perlis.

Penahanan secara berasingan itu dilakukan Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, yang membuat penyamaran dengan menaiki bot nelayan malam tadi.

Katanya, operasi itu dilaksanakan sejurus mendapat aduan tentang pencerobohan bot nelayan dari Kedah yang menangguk siput di perairan Perlis.

“Tetapi sebelum kita sampai ke lokasi, kita mula mula melihat banyak bot yang memasang lampu ketika membuat aktiviti menangguk siput. Namun selepas bot kita keluar sahaja daripada jeti, seolah olah satu isyarat dikeluarkan dan mereka memadamkan lampu.

“Walau bagaimana pun kita berjaya mengesan bot-bot ini menggunakan radar. Hasilnya dua bot bersama 12 lelaki tempatan berjaya kita tahan”, katanya kepada Buletin TV3 ketika ditemui di jeti Zon Maritim Kuala Perlis.

Mereka yang ditahan merupakan rakyat tempatan dari Kuala Kedah yang berusia lingkungan 20-an hingga 50-an.

Penahanan dilakukan berasingan sekitar 12.31 hingga 12.54 tengah malam pada kedudukan jarak 2.9 dan hampir 6 batu nautika dari barat Kuala Perlis.

Melalui penahanan kedua-dua bot itu, Maritim berjaya merampas siput seberat 3.5 tan yang dianggarkan bernilai hampir RM10, 000.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot kelas A dan peralatan menangkap siput mencecah RM210, 000.

Maritim Zon Kuala Perlis sebelum ini mendedahkan kepada Buletin TV3, Perlis mengalami kerugian RM14.6 juta setahun akibat kegiatan menangguk siput.

Perbuatan itu dibenarkan di negeri-negeri lain namun diharamkan di perairan Perlis sejak tahun 80-an demi menjaga ekosistem laut.

Loading...
Terkini