Tumpuan :
Jenayah

12 lelaki ditahan kes curi kabel dengan nilai kerugian RM88,290

FOTO: Ihsan PDRM IPD Labuan

Oleh: Safwan Sawi

LABUAN: 12 lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel dengan kerugian bernilai RM88,290 yang didalangi lima kumpulan berasingan, di sini, antara Julai tahun lalu hingga Januari tahun ini.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, daripada jumlah tangkapan itu 11 daripadanya didapati positif dadah termasuk mempunyai rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan dan penyalahgunaan dadah.

“Pihak polis telah berjaya merampas dua buah kenderaan, beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk memotong kabel dan beberapa keratan kabel.

“Berdasarkan siasatan, didapati kesemua kabel yang dicuri telah dikupas dan dibakar dalam kawasan semak sebelum dijual ke premis barang lusuh sekitar Labuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Hamizi, kesemua 11 suspek lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara asing yang ditahan berumur antara 18 tahun hingga 60 tahun.

Katanya, kelima-lima kes berasingan itu masing-masing membabitkan kumpulan dikenali Geng Bel Isham, Geng Salpau, Geng Fitri, Geng Eul dan Geng Arshad.

Kes Geng Salpau antara kes membabitkan nilai kerugian tertinggi iaitu RM35,730 melibatkan kes curi dan khianat dengan membencanakan kabel milik Telekom Malaysia Berhad.

“Kes membabitkan empat laporan polis itu berlaku di sekitar Perumahan Batu Arang, Jalan Tanjung Aru, Kampung Sungai Keling dan Kampung Rancha-Rancha,” katanya.

Daripada keseluruhan kes sebahagian suspek telah didakwa di mahkamah manakala yang lain akan didakwa di bawah pelbagai undang-undang termasuk Seksyen 414 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

Hamizi turut mengingatkan orang ramai agar bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Labuan dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah yang berlaku khususnya Labuan.

“Kes curi kabel yang kerap berlaku boleh memberikan kesan serius termasuk gangguan rangkaian komunikasi, keselamatan awam dan menjejaskan ekonomi negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini