KUALA LUMPUR: Bukit Aman selesai merakam keterangan 11 individu berhubung siasatan polis berkait kes sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata 11 individu itu termasuk seorang ahli politik terbabit dan suaminya, seorang ahli perniagaan, beberapa individu dari sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wartawan portal tempatan.
“Setakat ini seramai 11 individu telah selesai diambil keterangan berkaitan kes itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Razarudin berkata, fokus siasatan setakat ini berkaitan peranan seorang Datuk Seri disyaki sebagai ‘dalang’ dalam mengenal pasti pelabur- pelabur yang berpotensi untuk melabur di Myanmar.
“Kita juga menyiasat peranan lelaki disyaki mengambil kesempatan untuk menjana keuntungan dari pelabur-pelabur yang berjaya dipujuk.
“Ini juga bagi mengenal pasti hubungan antara beberapa individu serta dua ahli perniagaan rakyat China,” katanya.
Semalam, dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan analisis dan penelitian terhadap kedudukan kewangan beberapa syarikat bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Razarudin dilaporkan berkata, laporan diperoleh daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) itu turut membabitkan maklumat beberapa individu, termasuk Mashitah serta ahli perniagaan tempatan bergelar ‘Datuk Seri’.
Katanya, polis turut melakukan semakan penerbangan bagi melihat pergerakan ke luar negara, khususnya Myanmar, oleh individu berkenaan sejak 2019.
Selain itu, katanya polis juga akan mengambil keterangan beberapa individu, khususnya mereka yang pernah menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan berjaya dibawa pulang dari Myanmar ke negara ini.
Razarudin berkata, langkah berkenaan diambil untuk mengenal pasti sebarang maklumat baharu yang boleh membantu siasatan kes itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- KDN serah siasatan sepenuhnya kepada PDRM berhubung kes Dr. Mashitah
- Polis akan panggil 3 penulis artikel berkaitan kes sindiket pemerdagangan manusia
- Polis kesan lelaki bergelar Datuk Seri bantu siasatan kes sindiket pemerdagangan manusia
- Siasatan kes pemerdagangan manusia babitkan bekas menteri dilakukan dengan tertib, cermat