comscore
Tumpuan :
Jenayah

 11 ditahan terbabit curi kabel

AMPANG JAYA: Tiga wanita antara 11 ditahan dipercayai terbabit kegiatan curi kabel di Jalan Hillview, Hulu Kelang, di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mereka dikesan selepas anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) terserempak dengan dua daripadanya yang menaiki kereta dalam keadaan mencurigakan pada 5.23 pagi kelmarin.

“Ketika diminta berhenti bagi pemeriksaan, suspek terus memecut kereta itu ke arah Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) dengan seorang daripadanya cuba terjun dari kenderaan, namun berjaya ditahan.

“Pemeriksaan oleh juruteknik Telekom Malaysia (TM) mendapati suspek berusia 28 dan 34 tahun disyaki mencuri kabel di Jalan Hillview, Hulu Kelang, malah suspek kedua gagal mengemukakan kad pengenalan diri ketika ditahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, pihaknya kemudian membuat tangkapan susulan terhadap enam lelaki dan tiga wanita tempatan berusia antara 17 hingga 33 tahun di Bandar Botani dan Jalan Taman Kem Pelabuhan, Klang, Selangor kerana disyaki terbabit dengan kes itu.

“Kami merampas 76 kabel yang dipotong pelbagai ukuran, empat kereta, tiga mesin gerudi, sebuah mesin kimpal, 10 gulung tali sling, satu kuku kambing, dua besi ‘main hole key’ dan empat telefon bimbit.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki aktif mencuri kabel sejak tahun lalu membabitkan empat kes di Ampang Jaya, dua kes di Shah Alam serta tiga kes di Melaka.

“Modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan kabel bawah tanah TM dengan memotong dan menarik ia menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian awal air kencing dilakukan terhadap mereka mendapati dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan amphetamine.

Katanya, sembilan suspek juga mempunyai antara dua hingga 14 rekod pelbagai kesalahan jenayah dan dadah, manakala dua lagi suspek tiada rekod jenayah.

“Permohonan reman terhadap dua suspek yang ditahan kelmarin adalah selama empat hari, berakhir esok, manakala sembilan lagi suspek direman selama empat hari sehingga 3 Julai ini,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427/431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 bagi seorang suspek.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit sebarang perbuatan khianat terhadap kabel dan sentiasa membawa dokumen pengenalan diri semasa pemeriksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini