comscore
Tumpuan :
Jenayah

11 ditahan, kutip, paksa pemandu bayar parkir 

 

KUALA LUMPUR: 11 individu termasuk warga asing ditahan menerusi Op Parkir Haram, pada 24 April lalu dipercayai terlibat kegiatan parkir haram di sembilan lokasi sekitar ibu negara.

Lokasi yang diserbu adalah Jalan Beremi, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tengah Changkat Bukit Bintang, Persiaran Dutamas G3 Street, Jalan Berangan, Jalan Walter Granier, Jalan Mesui, Jalan Doraisamy dan Jalan Kamunting.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur bermula jam 9 malam, Rabu lalu.

“Dalam operasi itu, kami berjaya menahan 11 individu berusia antara 19 hingga 60 tahun dengan lima daripada mereka adalah warga asing dari India dan Bangladesh.

“Selain itu, dua tangkapan warga tempatan juga didapati memiliki dua rekod lampau bersabit kes dadah serta orang dikehendaki,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal dilakukan mendapati suspek terbabit melakukan kesalahan mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram.

Malah, katanya, ada di antara suspek juga dikesan merampas wang tunai yang diambil daripada pemandu secara paksaan.

“Suspek-suspek ini difahamkan mengenakan caj antara RM10 hingga RM20 untuk setiap kenderaan yang diparkir.

“Ada antara suspek dikesan aktif melakukan kegiatan ini sejak sebulan hingga dua bulan lalu,” katanya.

Menurutnya, siasatan kes terbabit masih dijalankan dan tindakan akan diambil mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mendesak mana-mana orang lain yang berkenaan dengan penjagaan kenderaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini