comscore
Tumpuan :
Hiburan

XTRA XSTAR cari bintang nyanyian baharu

Pemenang turut berpeluang muncul di pelbagai platform media di bawah Media Prima.

PETALING JAYA: Portal hiburan Media Prima, XTRA, melancarkan kempen pencarian bakat digital baharu, XTRA XSTAR yang bertujuan untuk mencari dan mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam industri muzik melalui platform media sosial.

Inisiatif terkini XTRA ini diperkenalkan bagi memberikan peluang kepada bakat-bakat muda di Malaysia untuk mempamerkan kebolehan nyanyian mereka.

Dengan kemajuan pesat teknologi dan platform media sosial, kempen ini membuka peluang yang lebih luas bagi individu berbakat untuk dikenali orang ramai tanpa had geografi.

Pengurus Kempen XTRA XSTAR yang juga Ketua Pengarang XTRA, Muhammad Kamaruddin Mohd Razal berkata, pencarian bakat digital ini dijangka menarik minat ramai peserta yang bercita-cita untuk mencipta nama dalam industri muzik tempatan.

“Melalui XTRA XSTAR, kami membuka peluang baharu kepada semua individu berbakat dan berminat untuk menjadi penyanyi.

“Penggunaan platform digital seperti TikTok, dengan pendekatan yang inovatif, memberi peluang kepada peserta untuk menunjukkan kreativiti mereka dalam menyampaikan persembahan nyanyian yang unik dan memukau,” katanya.

Muhammad Kamaruddin berkata, peserta daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa boleh menghantar penyertaan mereka bermula dari 2 September 2024.

Katanya, seramai 20 peserta bertuah akan dipilih oleh panel juri profesional untuk mara ke pusingan Top 20, di mana mereka akan diundi oleh orang ramai.

“Di peringkat akhir, lima peserta terbaik akan bersaing untuk menjadi juara dan dinilai oleh penyanyi profesional dan individu berpengalaman dalam industri hiburan.

“Lima peserta terbaik ini akan bersaing dalam pusingan akhir yang akan diadakan secara langsung di akaun TikTok XTRA, dan pemenang akan memenangi kontrak rakaman dan pengurusan dengan Alternate Records & Talents.

“Peserta akan dinilai berdasarkan kreativiti, kualiti vokal, dan keunikan persembahan mereka oleh panel juri yang terdiri daripada selebriti terkenal dan profesional industri muzik,” katanya.

Untuk menyertai XTRA XSTAR, ikut langkah berikut:

  1. Rakam video nyanyian anda di TikTok. Pastikan akaun anda ditetapkan kepada umum.
  2. Sertakan hashtag #XTRAXSTAR2024.
  3. Tiada had umur! Semua orang dialu-alukan untuk menyertai XTRA XSTAR.
  4. Pastikan anda tidak berada di bawah kontrak dengan mana-mana syarikat rakaman atau pengurusan.
  5. Sebanyak 20 peserta akan dipilih untuk mara ke pusingan seterusnya.

Selain itu, peminat juga berpeluang untuk menyokong peserta kegemaran mereka dalam pusingan Top 20 melalui undian yang dijalankan di laman web XTRA, dan lima peserta dengan undian tertinggi akan mara ke pusingan akhir.

Selain menerima gelaran juara, memenangi kontrak rakaman dan pengurusan dengan Alternate Records & Talents, pemenang XTRA XSTAR juga akan berpeluang muncul di pelbagai platform media di bawah Media Prima, termasuk temuramah eksklusif dan liputan media yang meluas.

Untuk maklumat lanjut mengenai XTRA XSTAR, layari laman web rasmi XTRA atau ikuti platform media sosial XTRA di TikTok, Instagram, Facebook, dan X dengan mencari ‘XTRA_MY’.

Loading...
Terkini