Oleh: Ain Shafiqah Zaki
KLANG: Bukan biasa-biasa.
Itu yang dapat disimpulkan apabila melihat pakaian Rukiah Kalapukong, 46, yang tampil berani memperagakan tiga jenis persalinan tradisional.
Busana itu mewakili tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India sempena Fiesta Warisan Seni Budaya dan Pelancongan Klang, pagi tadi.
Bahkan dua kepala naga diperbuat daripada kadbod turut dipersembahkan bagi menambat hati juri.
Ternyata kepala binatang mitos itu membawa tuah dan berjaya menobatkan Rukiah sebagai juara menandingi 14 peserta lain.
Ibu kepada penyanyi dan pelakon Wani Kayrie itu membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM700 dan hamper.
Rukiah turut mengakui pengorbanannya untuk menyiapkan busana yang memakan kos RM300 itu berbaloi.
“Ambil masa juga berfikir kalau baju untuk kaum Cina, lazimnya orang pakai tanglung, bunga-bunga jadi kita nak lain daripada yang lain.
“Berbaloilah awal pagi bangun kita ingin buat yang terbaik sebab kita nak tunjuk contoh buat anak-anak sebab saya selalu bawa anak pergi bertanding,” ujarnya.
Bagi naib juara, Muhammad Faizi Abdul Rahim, persaingan sengit antara peserta lelaki tidak mematahkan semangat beliau untuk menampilkan pakaiannya.
Mempunyai pengalaman dalam bidang peragaan menjadikan nilai tambah buat Faizi tampil berkarisma berbanding peserta lain.
“Bagi saya baju yang saya tampilkan ini sudah memadai dan mempunyai keunikan sendiri untuk saya menonjol di hadapan khalayak ramai,” katanya yang segak berbaju pahlawan berwarna oren bata.
Sementara itu bagi penganjur, inisiatif pertandingan ini bukan sahaja untuk menghormati warisan budaya Malaysia tetapi juga menyatukan masyarakat dalam menghargai kepelbagaian budaya tradisional.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa