comscore
Tumpuan :
Dunia

Vape dalam bangunan, Jennie BLACKPINK tampil mohon maaf

FOTO: jennierubyjane/Instagram

SEOUL: Bintang K-pop, Jennie BLACKPINK tampil memohon maaf atas keterlanjurannya menghisap vape di dalam bangunan hingga mencetuskan perdebatan dalam talian, sehinggakan Kementerian Luar Korea Selatan menerima aduan rasmi berkaitan kejadian itu.

Kenyataan maaf itu dikeluarkan oleh agensi Jennie, OA Entertainment.

Agensi berkenaan juga meminta maaf atas tindakan yang mengecewakan jutaan peminat penyanyi dan rapper itu.

“Jennie juga secara peribadi telah meminta maaf kepada semua staf di lokasi,” menurut kenyataan itu.

Video yang menunjukkan Jennie, 28 tahun, menghisap vape ketika berada di Itali atas tujuan kerja, dimuat naik sebagai sebahagian daripada vlog di YouTube untuk peminatnya.

Babak tersebut sudah dipadamkan, namun salinannya tersebar di Internet.

Tangkap layar video tular menunjukkan Jennie sedang menghisap vape

Menerusi rakaman itu, Jennie kelihatan menghembuskan asap vape dalam ruangan yang mana terdapat pendandan rambut dan jurusolek sedang bekerja untuk menyiapkan dirinya.

Menghisap rokok mahupun vape di dalam bangunan adalah salah di sisi undang-undang Korea Selatan dan disebabkan itu, topik ‘merokok dalam bangunan’ dan ‘Blackpink Jennie’ menjadi bualan hangat di aplikasi X.

“Kontroversi mengenai Jennie merokok di dalam bangunan, menghembus asap di hadapan muka kakitangannya” antara tajuk utama laporan agensi berita Yonhap.

Sementara Korea Times melaporkan, seorang warganet mendakwa insiden itu berlaku di Capri, Itali iaitu lokasi di mana Jennie menjalani penggambaran.

Dia mendesak Kedutaan Korea Selatan di Itali dan Kementerian Luar supaya menyiasat perkara itu, bahkan meminta “Seoul memohon untuk menyiasat insiden ini daripada pihak berkuasa Itali dan mengambil tindakan tegas”.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Korea Selatan mengesahkan pihaknya menerima petisyen berkaitan insiden berkenaan.

FOTO: BLACKPINK/Instagram

BLACKPINK antara artis berkumpulan K-pop paling berjaya dengan lagu mereka kerap menduduki carta teratas tempatan dan antarabangsa, selain tersenarai dalam carta US Billboard.

“Menyiarkan video sebegitu di saluran SNS sendiri menimbulkan persoalan tahap logik akal Jennie.. Ia sangatlah mengecewakan,” kata seorang pengulas di portal Korea Selatan, Naver.

Korea Selatan dilapor menghadapi kadar merokok dalam kalangan penduduk yang tinggi, namun data rasmi setakat 2022 merekodkan hanya lima peratus wanita Korea Selatan yang merokok berbanding 30 peratus lelaki. -Agensi

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini