SEOUL: “Saya mohon maaf. Saya sangat menyesal kerana telah mengecewakan ramai pihak serta peminat.”
Itu kata-kata yang dilontarkan anggota BTS, Suga, ketika tampil di balai polis di sini hari ini, bagi memberi keterangan untuk siasatan memandu di bawah pengaruh alkohol melibatkannya.
“Saya akan menjalani siasatan polis ini dengan jujur dan sekali lagi, saya minta maaf,” tambah rapper berusia 31 tahun itu sebelum memasuki balai polis.
Menurut laporan media, pihak polis dijangka mengenal pasti kandungan alkohol diambil Suga ketika memandu skuter elektrik dalam keadaan mabuk, awal bulan ini.
Terdahulu, agensi mewakli BTS, Big Hit Music menjelaskan, Suga ditemui terbaring bersendirian di tepi jalan, bersama skuter eletrik yang ditunggangnya.
Tambahnya, kejadian berlaku ketika Suga dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas mengambil minuman keras, seterusnya ujian alat pernafasan mengesan kandungan alkohol dalam tubuh penyanyi itu.
Dia kemudian dibawa pulang ke rumah oleh polis pengiring.
Suga atau nama sebenarnya, Min Yoon-gi ketika ini menjalani khidmat ketenteraan wajib sebagai pekerja khidmat sosial. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.