comscore
Tumpuan :
Hiburan

Sudirman Dalam Kenangan

Penghibur nombor satu Asia dan negara, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad sentiasa dalam ingatan semua walaupun telah genap 30 tahun pemergiannya.
Al-Fatihah.

KUALA LUMPUR: “Bukan gelaran jadi ukuran, tetapi bakti yang disumbangkan. Walau apapun terjadi perjuangan saya dalam persada seni tiada noktah, selagi nadi masih berdenyut dan diterima peminat, selagi itulah saya akan terus berjuang. Dengan kerjaya sebagai penghibur, saya mahu lakukan dengan bersungguh-sungguh supaya masyarakat terus mengingati saya buat selama-lamanya,” demikian ungkapan penghibur nasional, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad ketika masih bernyawa.

Nyata, ungkapan seribu makna itu bagaikan doa yang dimakbulkan. Hingga kini, pemergiannya belum ada galang ganti, biarpun genap 30 tahun jasad Penghibur Nombor 1 Asia itu bersemadi, tahun ini.

Jasa, sumbangan dan karya penyanyi jolokan ‘The Singing Lawyer’ itu tetap subur di hati masyarakat apabila meletakkan perjuangan seni dan budaya yang tinggi atas nama tanggungjawab sebagai insan seni dikurniakan bakat dan kreativiti.

Paling bermakna, penghibur kesayangan ramai itu dinobatkan Penghibur Nombor 1 Asia pada Asian Popular Music Awards yang berlangsung di Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989.

Beliau mengalahkan penyanyi legenda Hong Kong, Leslie Cheung dan superstar dari Singapura, Anita Sarawak.

Justeru, kejayaan Sudirman menjadi kebanggaan negara, sekali gus antara anak Malaysia yang mampu mencipta nama di persada antarabangsa.

Bagi terus memperingati jasa dan sumbangan Sudirman dalam mengharumkan nama negara, Arkib Negara Malaysia (ANM) dengan kerjasama rakan strategik, Kamura Enterprise dan pusat beli-belah Fahrenheit88 mengadakan pameran khas, Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur Nombor 1 Asia.

Anak saudaranya, Razman Azrai Datuk Zainuddin atau Atai berbesar hati dengan usaha berterusan ANM dalam mengenang jasa arwah.

Katanya, agak sukar buatnya dan keluarga mengadakan pameran besar, apatah lagi, hadir mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian adalah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Justeru, Atai berkata, dia dan keluarga berbesar hati berkongsi beberapa barangan koleksi peribadi arwah untuk tatapan peminat.

“Saya mewakili keluarga menyerahkan beberapa gambar dan sijil milik arwah.

“Kami sangat terharu apabila Tengku Hassanal sudi mencemar duli merasmikan pameran khas, Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur Nombor 1 Asia.

“Tak lupa, kami juga berterima kasih kepada ANM, pusat beli-belah Fahrenheit88 dan Kamura Enterprise yang menjayakan pameran ini.

Pameran Warisan Sudir: Tribute kepada Penghibur No 1 Asia berlangsung di Galeri Sudirman di tingkat dua pusat beli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang bermula 11 Ogos lalu hingga 30 September ini. Ia dibuka antara jam 11 pagi hingga 10 malam, setiap hari secara percuma.

Pameran khas berkenaan mempamerkan koleksi terpilih seperti busana dan barangan peribadi yang jarang dipamerkan kepada umum. Ini termasuklah barangan milik peminat setia yang sudi meminjamkan koleksi yang disimpan, selain jualan sagu hati.

Atai berkata, sebanyak 15 peratus daripada hasil jualan sagu hati di pameran akan disalurkan kepada keluarga arwah dan badan kebajikan pilihan. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini