KUALA LUMPUR: Biarpun lama terpisah, keinginan bintang veteran, Noor Kumalasari, 68, bertemu kakaknya yang juga penyanyi bertaraf superstar, Anita Sarawak, 72, tidak pernah padam.
Selepas Anita atau lebih mesra disapa Kak Nita membawa diri dan menetap di Las Vegas, Amerika Syarikat sejak penghujung 2010, ingatannya terhadap kakak yang pernah membesar dan melalui liku hidup bersama tidak pernah luput.
Melihat potret terbaharu Anita bersama suami, Mahathir Abdullah yang dikirimkan kepada adik angkatnya yang juga bekas wartawan hiburan The New Straits Times (NST), Shuib Taib, Noor tidak mampu menyembunyikan kerinduannya.
Ia sekali gus menyangkal telahan ramai bahawa penyanyi Akhirnya Kini Pasti dan Seksis itu bergelut dengan masalah kesihatan termasuk dakwaan menghidap penyakit kanser.
“Alhamdulillah, Kak Nita dan Mahathir sihat. Apa yang penting, kesihatan terjaga dalam usia emas.
“Sudah lama saya tidak menatap wajah Kak Nita sejak menetap di Las Vegas. Jika dihitung, 14 tahun bukan jangka pendek.
“Melihat potret terbaharunya, terubat juga kerinduan saya kepadanya. Kak Nita kelihatan lebih segar, ceria dan sedikit berisi bila bergelar suri rumah tangga. Mahathir juga nampak okay dan sihat,” katanya kepada BH Online.
Noor berkata, foto itu membuktikan Anita bahagia dengan kehidupan privasi dipilih. Ia sekali gus menepis khabar angin mendakwa Anita menderita sakit.
“Selama hari ini ada peminat dengar cerita tak betul dan anggap Kak Nita sakit. Namun, berkat orang kata sakit, Kak Nita lagi sihat.
“Saya percaya ramai peminat mendoakan Kak Nita. Saya juga sebenarnya penat menjawab pertanyaan peminat Kak Nita.
“Melihat saya, pasti persoalan mengenai Kak Nita diajukan. Sampaikan saya tak tahu nak jawab apa.
“Jadi, potret inilah jawapannya, Kak Nita masih sihat,” katanya.
Selepas lebih sedekad menjadi buruan wartawan dan menyepikan diri, akhirnya sekeping foto Anita yang masih sihat, jelita dan ceria meleraikan penantian peminat.
Foto Anita bersama Mahathir diperoleh BH daripada mantan editor hiburan dan penulis lirik yang kini perunding konsert, Roslen Fadzil.
Potret itu diberikan kepada Shuib yang masih berhubung secara peribadi dengan Anita dan Mahathir.
Penerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-31 itu berkata, kali terakhir berhubung dengan Anita pada Syawal, tahun lalu.
“Saya masih menunggu panggilan Kak Nita. Dalam perbualan terakhir, Kak Nita berjanji mahu menghubungi saya.
“Saya pernah menghubungi Kak Nita, namun gagal. Mungkin Kak Nita sibuk dengan urusan bisnes dan keluarga,” katanya.
Tidak berselindung, bekas model, penyanyi dan pelakon popular era 1970-an dan 1980-an itu mengakui, hatinya begitu rindu mahu bertemu kakaknya.
“Kalau ditanya soal rindu, saya teramat rindu. Saya dan Kak Nita membesar bersama. Kalau dulu, sayalah tempat Kak Nita berkongsi suka dukanya.
“Kami suka berbual hingga jauh malam, gelak-gelak bersama. Hubungan kami sangat rapat sejak kecil.
“Secara jujurnya, kalau ada kesempatan, saya mahu bertemu Kak Nita sebelum tutup mata.
“Jika Kak Nita izinkan, saya pasti berusaha cari jalan untuk terbang ke Las Vegas bertemunya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.