comscore
Tumpuan :
Hiburan

Search Imbau Kenangan 40 Tahun

Search bakal menampilkan segmen yang membawa penonton menelusuri perjalanan awal sebelum menjadi artis rakaman menerusi Konsert Search Rock On 40 di Panggung Sari, Istana Budaya pada 4 Disember ini.

KUALA LUMPUR: Kemunculan kumpulan ikonik legenda, Search dalam persada seni merubah landskap muzik yang didominasi irama blues dan reggae, empat dekad lalu.

Ternyata, muzik rock & roll yang menjadi tanda dagang Search mencetuskan fenomena apabila semakin banyak kumpulan muzik mengetengahkan genre sama, umpama cendawan tumbuh selepas hujan ketika era itu.

Bagi mengabadikan sejarah yang pernah dilakar, Search akan berkongsi pengalaman menerusi Konsert Search Rock On 40 yang bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 4 Disember ini.

Memperincikan konsert anjuran Menara Network Sdn Bhd, vokalis Search, Datuk Amy, berkata Search mahu mengimbau semula nostalgia dengan menyanyikan kembali rangkaian lagu yang kerap didendangkan pada awal penubuhan Search sekitar empat dekad lalu.

“Semestinya, Konsert Search Rock On 40 berbeza dengan Konsert Endemik yang dijayakan, Jun lalu.

“Untuk konsert ini, Search menampilkan segmen yang bakal membawa penonton menelusuri perjalanan awal sebelum menjadi artis rakaman.

“Ketika itu, kami membuat persembahan di Red Rooster. Di situlah, Search bermula sebelum berada pada tahap dan kedudukan hari ini.

“Jadi, kami akan menyanyikan semula lagu penyanyi lain yang pernah dimainkan ketika membuat persembahan di kelab berkenaan bagi mengimbau kenangan.

“Momen ini sangat penting untuk diceritakan dalam konsert kerana kami berjaya merubah landskap industri muzik yang dikuasai irama blues dan reggae,” katanya kepada BH Online.

Tambah Amy, konsert Search adalah acara kemuncak kepada jenama Rock On 40 yang diperkenalkan penganjur.

Katanya, konsert ini akan menjadi pelengkap kepada siri Rock On 40. Ini kerana akan ada konsert rock yang menampilkan penyanyi hebat genre muzik ini, Man Kidal, Datuk Awie, Muss, Riz Halim dan Ella pada 2 dan 3 Disember ini.

Dalam perkembangan lain, Amy berkata, dia kini semakin selesa dengan barisan pemuzik Search yang sedia ada iaitu Nasir Daud, Hillary Ang dan Man Kidal sejak penganjuran Konsert Endemik.

Malah, katanya, pelbagai perancangan sudah diatur untuk terus mengembangkan kerjaya seni.

“Insya-Allah, akan ada pengumuman dibuat membabitkan kerjaya nyanyian kami. Buat masa ini, Search tidak dapat mendedahkan butiran terperinci mengenainya.

“Bagaimanapun, perkara ini berkaitan dengan perkembangan kerjaya seni Search. Selepas kejayaan Konsert Endemik, kami enggan menoleh ke belakang lagi.

“Misi dan visi untuk memastikan Search terus maju dalam kerjaya nyanyian,” ungkap Amy.

Mengulas pemilihan Search sebagai penutup kepada siri Rock Rock On 40, Ketua Pegawai Operasi, Network Sdn Bhd, Aman Ali, berkata pilihan itu bertepatan dengan status Search sebagai pelopor muzik rock di Malaysia.

“Untuk konsert ini, kami ada senarai cadangan artis, namun akhirnya memilih Search kerana yakin layak untuk mengisi slot ini.

“Insya-Allah, kami merancang membawa konsert ini menjelajah seluruh negara. Antara lokasi dikenal pasti termasuklah Johor Baharu, Sabah dan Sarawak.

“Cuma, jenamanya akan bertukar menjadi Konsert Rock On Search,” ujarnya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini