KUALA LUMPUR: “Saya akan lelong trofi… insya-Allah. Piala yang saya pernah menang di AJL dan AIM dahulu semua. Saya akan lelong gitar kesayangan, banyak sebenarnya. Iya, saya sayang (semua barangan itu).”
Itu niat penyanyi dan komposer, Faizal Tahir demi membantu rakyat Palestin.
Faizal, 45, sanggup melelong trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Industri Muzik (AIM) yang dimenanginya, selain beberapa barangan koleksi peribadi bernilai tinggi.
Lelongan barangan itu katanya akan dibuat pada acara amal, ‘Faith 4 Palestine’ yang dianjurkan gerakan kemanusiaannya, iamFaithmen dan syarikat rakaman, Faithful Music, lusa.
View this post on Instagram
“Saya akan lelong kasut yang sangat saya sayang dan bernilai tinggi. Sayang sebenarnya, tetapi saya lepaskan demi saudara kita di Palestin.
“Selain itu, ada juga barangan permainan edisi terhad yang dikumpul. Siapa yang ikuti saya dari dahulu tahu yang saya banyak koleksi Superman, Iron Man dan Star Wars… semua ini saya akan lepaskan untuk Palestin,” katanya.
Faizal berkongsi niat murninya itu ketika ditemubual penyampai radio Kool 101, Muaz Mohamed dan Haiza Hanafi menerusi segmen ‘Pagi On Point’, pagi tadi.
Penyanyi lagu ‘Assalamualaikum’ itu sedia melelong barangan berkenaan, kerana koleksinya itu tidak bermakna jika tidak memberi manfaat kepada insan memerlukan.
“Ini kesedaran untuk diri saya bahawa benda-benda yang ada pada saya, bukan saya punya sebenarnya. Sampai bila saya hendak simpan benda macam ini.
“Kadang-kadang kita ‘display’ tengok macam itu sahaja, tidak boleh guna untuk apa-apa kebaikan pun. Ini datang dari kesedaran yang suatu hari nanti, saya akan mati, mana ada orang yang tidak mati,” katanya.
Melalui ‘Faith 4 Palestine’ yang dianjurkan di Hotel Royale Chulan Damansara, Ahad ini, Faizal akan membuat persembahan akustik dengan menampilkan artis jemputan lain, termasuk mengadakan sesi rakaman podcast dan lelongan amal barangan peribadi.
Acara amal itu dijadual berlangsung antara jam 2 hingga 4 petang.
Tiket dijual pada harga RM99 dengan keuntungan daripada kutipan akan disalurkan kepada tabung bantuan Palestin melalui rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cinta Gaza Malaysia.