Oleh: Aslina Abu Bakar
PETALING JAYA: Drama Salju Rindu Di Bumi Auckland (SRA) meraih kedudukan tertinggi sekali gus dinobatkan sebagai drama nombor satu di platform Tonton selama dua minggu berturut-turut.
Jalan ceritanya yang mendebarkan menjadi tarikan untuk pelayar mengakses platform berkenaan sehingga meletakkan karya itu sebagai siri drama wajib tonton.
SRA mengisahkan tentang kekeluargaan, cinta, dan penebusan di bumi Auckland.
Drama 28 episod arahan Riza Baharudin itu dibintangi pelakon terkenal antaranya Riena Diana, Keith Foo, Emelda Rosemila, Shamsul Ghau Ghau, Kodi Rasheed dan Husna Mustaffa.
Pelakon, Riena Diana berkata, dia bersyukur dengan penerimaan penonton terhadap drama yang ditayangkan sejak 16 September lalu.
“Sekarang dah capai 11 juta tontonan di Tonton dan menjadi drama nombor satu di platfom berkenaan.
“Alhamdulillah masa kami membuat penggambaran, kami tidak meletakkan harapan yang tinggi sebab Reina takut juga kena kecam sebab sebelum ni Reina tak pernah bawa watak yang kasar dan melawan ibu bapa,” katanya.
Pelakon, Keith Foo pula berkata, SRA turut menunjukkan prestasi luar biasa dengan jangkauan keseluruhan media sosial mencecah 30 juta capaian melalui 10 episod dalam tempoh tiga minggu.
“Saya pun tak sangka akan jadi viral dan trending tapi saya rasa sangat bersyukur dan berharap ia dapat diterima oleh orang ramai di mana-mana sahaja platfom yang akan ditayangkan kelak,” katanya.
Orang ramai masih berpeluang untuk menyaksikan secara eksklusif drama wajib tonton itu di platform penstriman Tonton atau aplikasi Tonton setiap Isnin hingga Khamis, mulai 16 September hingga 31 Oktober ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.