Tumpuan :
Hiburan

‘’Rujuk doktor sebelum buat persembahan’’ – Naim Daniel

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Penyanyi Naim Daniel menjelaskan, dia sudah mendapatkan khidmat nasihat doktor sebelum melakukan persembahan secara tergantung dan terbalik pada Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.

Naim mendendangkan lagu Mainan berkata, apa yang dilakukan di bawah pemantauan pihak profesional termasuk pasukan produksi TV3 dengan latihan dan persiapan rapi.

“Saya rujuk doktor sebelum buat persembahan. Ini kerana produksi TV3 sangat prihatin dengan apa yang saya lakukan.

“Latihan nyanyian dalam keadaan seperti terbalik juga mengambil masa antara tiga hingga empat hari. Untuk menjayakannya, saya mendapatkan pengawasan dan nasihat pasukan, produksi dan doktor.

“Pada awalnya, saya tak percaya boleh melakukannya, namun saya jadi lebih selesa selepas beberapa kali mencubanya,” katanya kepada BH Online.

Tambah Naim, persembahan ‘berani mati’ itu mempunyai risiko besar, namun nekad melakukannya dengan ilmu dalam nyanyian.

Selain itu, katanya, dia tidak makan atau minum beberapa jam sebelum persembahan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Mengadakan persembahan dalam keadaan tergantung dan terbalik ada kemungkinan untuk suara jadi sengau atau tidak boleh menyanyi langsung.

“Tetapi, saya sedaya upaya manfaatkan apa sahaja ilmu nyanyian dipelajari selama ini. Saya cuba bertenang dan pastikan ia berada dalam keadaan terkawal.

“Persembahan ini agak berisiko, tetapi saya dapat lakukannya dengan baik atas bantuan individu penting di sekeliling saya,” katanya.

Semalam, Naim menepati janji untuk memberikan persembahan paling ‘gila’ apabila menyanyikan lagu ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewangga itu secara terbalik dan tergantung lebih daripada tiga minit. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini