comscore
Tumpuan :
Hiburan

Rashidi, pengarah Kampung People bergelar suami isteri

KUALA LUMPUR: Pelakon Rashidi Ishak mengakhiri zaman duda selepas memilih penerbit dan pengarah, Wan Hasliza Wan Zainuddin sebagai jodoh dalam majlis pernikahan yang dipercayai berlangsung di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan, hari ini.

Berita gembira itu dimaklumkan jurusolek dikenali sebagai Mas Hashim menerusi laman Facebook (FB) miliknya, hari ini.

Menerusi hantaran berkenaan, jurusolek itu memuatkan foto Rashidi berbaju Melayu putih lengkap dan duduk di sisi Wan Hasliza yang mengenakan baju kebaya dengan warna sama.

“Tahniah Rashidi Ishak dan Wan Hasliza Wan Zainuddin. Semoga berkekalan hingga ke hujung nyawa,” tulisnya.

Bagaimanapun, cubaan BH Online mendapatkan kenyataan Rashidi dan Wan Hasliza yang juga pengarah dan penerbit drama Kampung People tidak berjaya apabila panggilan dan mesej tidak dijawab.

Rashidi pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Vanidah Imran pada 1 Oktober 2000 dan dikurniakan dua cahaya mata, Mikhail Imran dan Maryam Rashika.

Ikatan perkahwinan selama 17 tahun itu terlerai apabila masing-masing memutuskan untuk berpisah pada 9 Ogos 2018.

Loading...
Terkini