KUALA LUMPUR: Lapan tahun lalu, niat komposer berbakat besar, Ezra Kong, 34, menceburi lapangan dunia muzik hanya mahu mencari sesuap rezeki demi meneruskan kelangsungan hidup.
Tidak pernah sekelumit pun terlintas dalam hati menjadikan kerjaya sebagai komposer sebagai batu loncatan mengejar populariti atau mengumpul trofi anugerah.
Namun, berkat keikhlasan berkarya, berusaha tanpa mengenal erti jemu dan tabah berdepan pelbagai cabaran serta kekangan, akhirnya nama Ezra mampu berdiri sebaris dengan komposer handalan lain dalam sekelip mata.
Selepas menggenggam trofi Anugerah Juara Lagu menerusi lagu Jampi, Haram dan Gila, Ezra diangkat sebagai penerima Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada malam Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2022, sekali gus mengetepikan pencabar terdekat, Datuk M Nasir dan Zai Hamzah, malam kelmarin.
Mengimbau semula perjalanan dilalui pada awal pembabitan dalam dunia penciptaan lagu, Ezra berkata, kejayaan demi kejayaan yang diraih tidak mudah digapai, apatah lagi, bukan komposer Melayu.
“Jujurnya, bukan mudah memahami muzik Melayu, ini kerana melodinya berbeza dan ada lenggok tersendiri.
“Saya pula membesar tidak mendengar lagu Melayu. Justeru, saya memaksa diri setiap hari mendengar lagu Melayu ketika mula berjinak-jinak sebagai komposer.
“Lagu Melayu pertama yang berjaya menambat hati saya adalah Relaku Pujuk nyanyian kumpulan Spider. Dari situ, saya mula menghayati lagu Melayu lain.
“Tak dinafikan, memang agak sukar untuk menyesuaikan diri pada peringkat awal. Namun, lama kelamaan, apabila saya mula memahami proses dan timbul pula kecintaan terhadap apa yang diusahakan, rasa sukar bertukar menjadi mudah,” katanya kepada BH Online.
Tambah Ezra, dia juga mengambil inisiatif sendiri dalam memastikan karya sentuhannya mampu memuaskan hati pendengar.
“Untuk menambah kefahaman terhadap penciptaan muzik Melayu dan penulisan lirik, saya banyak membaca pantun dan mengkajinya.
“Malah, saya turut dibantu beberapa teman yang juga guru muzik untuk mengajar dan memperbaiki lirik yang dihasilkan.
“Penyanyi dan komposer, Hael Husaini adalah mentor saya yang banyak mengajar mengenai lenggok yang perlu ada dalam sesebuah karya Melayu.
“Saya bertuah dikelilingi mentor yang banyak membantu untuk menjadikan saya sebagai komposer hebat.
“Tanpa mereka, saya takkan berada pada kedudukan hari ini,” ungkap komposer kelahiran Pelabuhan Klang, Selangor ini.
Mengenai keutamaan diambil ketika menghasilkan sesebuah karya, Ezra berkata, tiada kriteria tertentu diletakkan dan semuanya mengikut naluri sendiri.
“Apabila mencipta lagu, saya bersifat terbuka. Saya tidak pandang siapa penyanyinya.
“Walaupun vokal mungkin ada kekurangan, tetapi saya tidak kisah menghasilkan karya jika suara memiliki karakter.
“Saya juga tidak menetapkan hanya menghasilkan karya berkualiti. Populariti sesebuah karya juga perlu saya ambil kira.
“Sejujurnya, saya lebih suka menghasilkan karya popular dan ‘trending’ kerana kebanyakan penyanyi suka jika lagu dendangan menjadi hit,” kata Ezra.
Mengulas kemenangan Ezra, Pengurus Besar MACP, Mary Yap, berkata komposer muda itu mempunyai kelebihan dari segi perolehan pendapatan digital.
“Beza antara Ezra dan dua pencabarnya, M Nasir dan Zai Hamzah tidak jauh. Cuma, Ezra mempunyai kelebihan dari segi pendapatan digital.
“Sebagai komposer muda, kutipan tertinggi yang diterima menerusi pelantar digital,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Yap turut berpuas hati dengan jumlah kutipan royalti diterima, tahun ini berikutan ada peningkatan selepas merudum susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara.
“Jumlah keseluruhan kutipan royalti, tahun ini mempunyai peningkatan sekitar lapan peratus berbanding tahun lalu.
“Untuk pelesenan umum membabitkan persembahan di tempat awam seperti hotel, pusat hiburan dan pusat beli-belah, ia mencatatkan kutipan memberangsangkan apabila terdapat penambahan sebanyak 100 peratus.
“Meskipun mempunyai peningkatan, kutipannya masih belum mencapai tahap seperti zaman sebelum pendemik.
“Untuk kutipan tertinggi masih dipegang pelesenan digital termasuk pelantar Over The Top, Netflix, Spotify dan banyak lagi apabila mencatatkan penambahan sekitar 10 peratus.
“Bagaimanapun, kami masih menunggu bayaran untuk digital sebelum kewangan MACP ditutup, hujung bulan ini,” kata Yap.
MACP 2022 adalah majlis penghargaan kepada penggiat seni yang menyumbang hasil karya untuk perkembangan industri muzik tempatan.
Ini adalah hasil royalti dikutip oleh MACP daripada persembahan muzik di stesen televisyen, radio, konsert, majlis makan malam dan lain-lain organisasi yang dilesenkan oleh badan berkenaan.
Majlis Anugerah MACP sempena sambutan ke-32 turut diserikan dengan persembahan Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Siti Fairuz, Yantzen, Ezad Lazim, Syamel, Ernie Zakri, Afieq Syazwan dan Naqiu.